Posted by: Hazizie Sulkafle | Ogos 25, 2011

Mazhab-Mazhab Fiqh dalam Islam

Pendahuluan

Mazhab secara bahasanya bermaksub jalan,arah atau panduan untuk diikuti.Berakar daripada perkataan ‘Dhahaba’ ذهب  yang bermaksud ‘pergi’. Dari segi istilah pula,mazhab merujuk kepada kumpulan pendapat seseorang ulama/ahli fekah.

Dalam Islam,mazhab telah menyumbang kepada wujudnya kemudahan dan panduan bagi umat Islam dalam menghadapi kehidupan sehari-harian,sama ada dari segi urusan jual beli,ibadah mahupun hubungan sesama masyarakat.

Sepanjang sejarah Islam,terdapat kira-kira 10 mazhab fiqh telah wujud dan diamalkan oleh umat Islam.Namun begitu,akibat peredaran masa dan perubahan zaman yang berlaku,hanya 4 mazhab utama sahaja yang masih wujud dan diamalkan oleh umat Islam iaitu mazhab Hanafi,Maliki,shafi’e dan Hanbali.Maka,dalam esei yang pendek ini,akan diterangkan secara ringkas sejarah dan perkembangan kesemua 10 mazhab yang ada,6 yang tidak diamalkan lagi dan 4 yang masih diamalkan sebagai tatapan dan pengetahuan kita semua.

1) Mazhab Hanafi

Diasaskan oleh Imam Abu Hanifah (703-767M) yang berasal dari Kufah,Iraq. Berketurunan Parsi,yang mana ayah beliau telah memeluk Islam pada zaman Khulafa Ar-Rashidin. Guru utama beliau adalah Hammad bin Zayd yang merupakan antara ulama hadith yang hebat pada ketika itu. Belajar selama 18 tahun dengan Hammad bin Zayd,sebelum beliau meninggal pada 742 M dan Imam Abu Hanifah telah mengambil alih tugas guru beliau untuk mengajar.Ketika itu,Imam Abu Hanifah berumur 40 tahun dan dikenali sebagai salah seorang ulama yang terkemuka di Kufah.

Ditawarkan jawatan dalam pentadbiran sebagai Kadi ketika era Daulah Umayyah(ketika Yazid bin Umar menjadi Gabenor Kufah) dan Daulah Abbasiyyah(Khalifah Abu Ja’far al-Mansoor) namun menolah jawatan tersebut yang telah menyebabkan beliau dipenjarakan sehingga beliau meninggal dunia.Tergolong dalam kelompok Tabi’n kerana sempat bertemu dan meriwayatkan hadith daripada beberapa orang Sahabat.

Tergolong dalam Ahl Ar-Ra’i,mazhab Hanafi dikembangkan oleh pengikut-pengikut beliau berbanding oleh beliau sendiri. Sumber hokum yang digunakan oleh Imam Hanafi dan pelajar-pelajar beliau adalah :

  1. Al-Quran
  2. Sunnah
  3. Ijma’ para Sahabat
  4. Pendapat/ijtihad peribadi para Sahabat
  5. Qiyas (analogi/perbandingan)
  6. Istihsan (yang lebih bermanfaat)
  7. Urf (adat masyarakat tempatan)

Antara pelajar utama beliau ataupun tokoh-tokoh utama dalam mazhab Hanafi ialah Zufar ibn Al-Hudhayl (732-774M), Abu Yusuf Ya’kub ibn Ibrahim (735-795M) dan Muhammad ibn Al-Hasan Ash-Shaybanee (749-805M).

Sekarang ini,mazhab Hanafi diamalkan oleh kebanyakan umat Islam di India, Afghanistan, Pakistan, Iraq, Syria, Turki, Guyana, Trinidad, Surinam dan Mesir. Malahan,Daulah Turki Uthmaniyyah telah menjadikan mazhab Hanafi sebagai mazhab rasmi daulah tersebut ketika menjelang penghujung abad ke 19.

2) Mazhab Awzaa’ee

                Berdasarkan ajaran ulama Syria,Abdur-Rahman ibn Al-Awzaa’ee yang lahir di Ba’labek pada 708M dan meninggal pada 774M. Terkenal sebagai ulama hadith yang hebat di abad ke-8M dan menolak penggunaan Qiyas secara keterlaluan dan lebih mengutamakan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Menetap di Beirut,Lubnan dan meninggal di sana. Mazhab beliau banyak diamalkan di Syria, Jordan, Palestin,Lubnan dan Andalus(Sepanyol)

Mendominasi Syria sebagai mazhab utama sehingga abad ke-10M,namun hilang pengaruhnya apabila Abu Zar’ah Muhammad ibn Uthman daripada mazhab Shafi’ie menjadi Qadi di Damsyik. Hal ini kerana Abu Zar’ah menggalakkan pelajar di sana mempelajari mazhab Shafi’ie dengan menghadiahkan 100 dinar kepada pelajar yang berjaya menghafal kitab Mukhtasar Al-Muzanee,kitab asas mazhab Shafi’ie. Secara tidak langsung,pengikut mazhab Awzaa’ee semakin berkurang sehinggakan menjelang abad ke-11M,tiada lagi yang mengamalkan mazhab Awzaa’ee lagi. Walaubagaimanapun, amzhab Awzaa’ee tetap diiktiraf dalam bidang Fiqh dan banyak dibincangkan dalam buku-buku perbandingan Fiqh.

3) Mazhab Maliki

Diasaskan oleh Imam Malik ibn Anas ibn Aamir,lahir di Madinah pada tahun 717M dan meninggal pada 801M. Merupakan cucu salah seorang Sahabat di Madinah iaitu Aamir. Memepelajari hadith daripada Imam Az-Zuhri,seorang muhaddithin yang hebat pada zamannya. Seorang periwayat hadith yang terkenal, Naafi iaitu hamba Abdullah ibn Umar yang telah dibebaskan juga merupakan salah seorang guru Imam Malik. Menetap di Madinah sepanjang hayatnya,hanya keluar untuk menunaikan haji.Menghadapi fitnah pada tahun 764M di mana beliau diseksa atas arahan Amir(Gabenor) Madinah kerana beliau telah mengeluarkan fatwa  bahawa cerai secara paksa adalah haram. Fatwa  ini bertentangan dengan amalan pemerintah Daulah Abbasiyyah iaitu individu yang melanggar sumpah taat setia kepada pemerintah dikehendaki menceraikan isteri mereka.

Mengajar hadith selama 40 tahun dan berjaya menyusun kitab hadith dan athar Sahabat yang terkenal; Al-Muwatta’ atas arahan dan dorongan Khalifah Abu Ja’far Al-Mansoor (754-775M). Dalam masa yang sama,ketika zaman Khalifah Abu Ja’far Al-Mansoor(754-775M) dan Khalifah Harun Ar-Rashid(786-809M) telah meminta agar Al-Muwatta’  dijadikan sebagai buku rujukan rasmi dalam bidang fiqh bagi Daulah Abbasiyyah namun ditolak oleh Imam Malik.

Sumber hukum yang diterima oleh Imam Malik dan pengikut selepasnya adalah :

  1. Quran
  2. Sunnah Rasulullah s.a.w
  3. Amalan penduduk Madinah
  4. Ijma’ para Sahabat
  5. Ijtihad peribadi para Sahabat
  6. Qiyas (analogi)
  7. Urf(adat) penduduk Madinah
  8. Istislah(yang lebih baik)
  9. Urf(adat masyarakat setempat)

Antara pelajar utama Imam Malik ialah :

  1. Abu Abdur-Rahman ibn Al-Qasim(745-813M)
  2. Abu Abdillah ibn Wahb(742-819M)

Mazhab Maliki sekarang ini banyak diamalkan di Mesir, Sudan, Afrika Utara (Tunisia, Algeria, Moroko), Barat Afrika (Mali, Nigeria, Chad) dan negara-negara sekitar Teluk Arab (Kuwait, Qatar, Bahrain)

4) Mazhab Zaydee

Imam Zayd ibn Ali Zainal Abidin (700-740M) yang merupakan keturunan Saidina Ali ibn Abi Talib melalui jurai keturunan Husain ibn Ali dianggap sebagai pengasas mazhab ini. Pakar dalam bidang hadith dan cara bacaan Quran, beliau mengajar di kota Madinah, Basrah, Kufah dan Wasit.Hidup di zaman Daulah Umayyah,beliau pernah cuba menentang khalifah ketika itu; Khalifah Hisham ibn Abdul Malik (724-743M) selepas peristiwa Karbala. Namun,beliau terkorban dalam penentangan tersebut. Berbeza dengan golongan Syiah yang lain,beliau mengakui perlantikan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar dan menafikan bahawa mereka berdua telah merampas hak Saidina Ali sebagai khalifah walaupun menentang pemerintahan Daulah Umayyah. Hal ini telah menyebabkan beliau hilang pengaruh dalam kalangan kelompok Syiah yang mana kepimpinan beliau ditolak dan diganti oleh Imam Ja’far As-Sadiq

Sumber hukum mazhab Zaydee adalah:

  1. Quran
  2. Sunnah Rasulullah s.a.w.
  3. Aqwaal ‘Alee(pendapat peribadi Saidina Ali)
  4. Ijma’ para Sahabat
  5. Qiyas
  6. ’Aql(akal fikiran).

Pelajar beliau yang terkenal ialah :

  1. Abu Khalid, ‘Amr ibn Khalid al-Wasite (m.889M)
  2. Al-Hadi Al-Haqq, Yahya ibn Al-Husayn (860-911M)
  3. Al-Hasan ibn Ali Al-Husayni (845-917M)

Hari ini,pengamal mazhab ini boleh dijumpai di Yaman.

5) Mazhab Laythee

Pengasasnya ialah Imam Al-Layth ibn Sa’ad (716-791M) yang dilahirkan di Egyt dan berketurunan Parsi. Sebagai salah seorang ulama terkemuka di Mesir,beliau juga sezaman dengan Imam Abu Hanifah di Kufah dan Imam Malik di Madinah. Malahan,beliau sering berdebat, bertukar pandangan dan berbincang dengan Imam Malik melalui surat.

Mazhab yang dibimbing beliau lenyap sejurus selepas kematian beliau atas beberapa factor iaitu:

  1. Beliau tidak merekodkan ajaran,ijtihad dan pendapat beliau.Beliau juga tidak pernah menyuruh pelajar-pelajar beliau untuk berbuat demikian.Hal ini menyebabkan sedikit sahaja maklumat yang ada mengenai mazhab ini.
  2. Jumlah pelajar beliau yang sedikit dan tiada yang menjadi ulama besar/terkenal yang membolehkan mereka menyebarkan dan mempopularkan ajaran Imam Al-Layth.
  3. Sejurus kematian beliau,Imam Shafi’ie telah tiba di Mesir(yang mana tujuan asalnya adalah untuk belajar di bawah beliau) dan menetap di sana dan menyebarkan mazhab Shafi’ie.

Satu fakta yang agak menarik ialah,berdasarkan pengamatan Imam Shafi’ie yang belajar di bawah Imam Malik dan pelajar Imam Al-Layth telah menyatakan bahawa sebenarnya Imam Al-Layth merupakan ahli fiqh yang lebih hebat jika dibandingkan dengan Imam Malik.

6) Mazhab Thawree

Bersempena pengasasnya,Imam Ath-Thawree(719-777M) ataupun nama sebenar beliau ialah Imam Sufyan Ath-Thawree yang dilahirkan di Kufah,Iraq. Terkenal dalam bidang Fiqh dan Hadith serta sependapat dengan Imam Abu HAnifah yang sezaman dengan beliau terutama dari segi sumber hukum dalam Fiqh. Namun beliau menolak penggunaan Qiyas dan Istihsan.

Telah berlaku perselisihan antara beliau dan pemerintah Daulah Abbasiyyah kerana sikap beliau yang lantang bersuara dan mengkritik polisi Abbasiyyah yang bertentangan dengan Shariah. Khalifah Al-Mansor(754-775M) telah menawar beliau menjadi Qadi Kufah namun ditolak beliau sehingga menimbulkan kemarahan Khalifah. Akibatnya,beliau dipaksa berhenti mengajar dan hidup sebagai pelarian. Beliau akhirnya meninggal pada 777M ketika masih dalam pelarian.

Terdapat 2 faktor mengapa lenyapnya pengaruh mazhab beliau.Pertama,kebanyakan usia beliau dihabiskan untuk melarikan diri dan bersembunyi daripada pemerintah Abbasiyyah sehingga menyebabkan beliau gagal mengumpul pelajar yang ramai.

Faktor yang kedua adalah disebabkan wasiat beliau kepada pelajar utama beliau;Ammar ibn Sayf agar menghapuskan segala hasil tulisan beliau dalam bidang hadith dan syarahannya.Walaupun begitu,sedikit sebanyak idea dan pemikiran beliau direkodkan oleh pelajar di bawah ulama lain dan masih wujud sehingga ke hari ini namun dalam keadaan yang tidak tersusun.

7) Mazhab Shafi’ie

Berdasarkan ajaran Muhammad ibn Idris ibn Ash-Shafi’ie yang lebih dikenali sebagai Imam Ash-Shafi’ie(769-820M) yang dilahirkan di Bandar Shaam. Mengembara ke Madinah untuk belajar ilmu Hadith dan Fiqh di bawah Imam Malik dan berjaya menghafal kitab Al-Muwatta’ sepenuhnya.

Selepas kematian Imam Malik,Imam Shafi’ie berhijrah dan mengajar di Yaman. Di sana,beliau dituduh sebagai Syiah dan dipenjarakan ketika zaman Khalifah Harub Ar-Rashud(786-809M) namun berjaya membebaskan dirinya daripada tuduhan tersebut. Kemudian,Imam Shafi’ie menetap di Iraq dan belajar di bawah Imam Muhammad ibn Al-Hasan,salah seorang murid utama Imam Abu Hanifah.

Selepas itu,beliau mengembara ke Mesir dengan harapan untuk belajar di bawah Imam Al-Layth(rujuk Mazhab Laythee) namun sesampainya beliau di Mesir,Imam Layth sudah pun meninggal dunia. Namun,beliau bernasib baik kerana sempat belajar di bawah pelajar Imam Al-Layth. Imam Shafi’ie menetap di Mesir sehingga beliau kembali ke rahmatullah pada 820M ketika zaman Khalifah Al-Makmun (813-842M).

Di antara kehebatan Imam Shafi’ie adalh kemampuan beliau dalam menggabungkan Fiqh Hijaz (Mazhab Maliki) dan Fiqh Iraq (Mazhab Hanafi) yang mana hasilnya adalah lahirnya mazhab Shafi’ie. Hal ini menyebabkan mazhab beliau boleh di katakan agak sederhana dan fleksibel berbanding mazhab-mazhab yang lain. Dalam mazhab beliau juga,terdapat 2 kumpulan fatwa yang dikenali sebagai ‘Qaul Qadim’(Fatwa Lama) dan ‘Qaul Jadid’(Fatwa Baru). ‘Qaul Qadim’ merupakan kumpulan fatwa semasa beliau berada di Iraq manakala ‘Qaul Jadid’ merupakan kumpulan fatwa setelah beliau berhijrah ke Mesir. Hal ini didorong oleh berbezanya cara hidup dan keadaan masyarakat di antara Iraq dan Mesir. Jika Imam Maliki terkenal dengan kitabnya Al-Muwatta’, Imam Shafi’ie pula terkenal dengan kitab al-Umm dan Ar-Risalah.

Untuk sumber hukum pula,Imam Shafi’ie dan pengikutnya berdasarkan :

  1. Al-Quran
  2. Sunnah Rasulullah s.a.w
  3. Ijma’
  4. Pendapat peribadi Sahabat
  5. Qiyas
  6. Istishab

Di antara pelajar beliau yang terkenal ialah :

  1. Al-Muzanee (791-876M)
  2. Ar-Rabee’ Al-Maradee (790-873M)
  3. Yusuf ibn Yahya Al-Buwaytee

Sekarang ini,pengikut Mazhab Shafi’ie kebanyakannya terdapat di Mesir, Selatan Arab (Yaman*,Hadramaut), Sri Lanka, Indonesia, Malaysia, dan Timur Afrika (Kenya,Tanzania) dan juga Surinam di Amerika Selatan.

*Kebanyakan pedagang dan pendakwah yang muncul di Kepulauan Melayu datang dari Yaman dan kawasan sekitarnya. Atas factor inilah kebanyakan penduduk Kepulauan Melayu (Malaysia & Indonesi) bermazhab Shafi’ie. Untuk bukti asal-usul pedagang dan pendakwah tersebut,boleh rujuk conflik yang berlaku antara golongan Sayyid dan bukan Sayyid di Kepulauan Jawa pada abad ke-18/19.

 8) Mazhab Hanbali

Bersempena pengasasnya,Imam Ahmad ibn Hanbal Ash-Shaybanee yang lahir di Baghdad pada 778M. Terkenal dalam bidang hadith, sempat belajar di bawah Imam Abu Yususf dan Imam Shafi’ie. Menghadapi beberapa siri fitnah ketika zaman Khalifah Al-Makmum (813-842M) sehingga menyebabkan beliau di penjarakan. Hal ini disebabkan pengaruh falsafah Muktazilah ke atas  Daulah Abbasiyyah. Antara isu yang di timbulkan adalah persoalan adakah Quran itu makhluk atau tidak. Fitnah ini berakhir pada zaman Khalifah Al-Mutawakkil (847-861M) setelah pengaruh Muktazilah disingkirkan daripada Daulah Abbasiyyah dengan penyingkiran ulama-ulama Muktazilah oelh Khalifah. Setelah itu,Imam Hanbali menetap dan mengajar di Baghada hingga ke akhir hayat beliau (855M). Kitab beliau yang terkenal adalah  Al-Musnad yang mengandungi 30 000 hadith.

Sumber rujukan mazhab Hanbali adalah :

  1. Quran
  2. Sunnah Rasulullah s.a.w
  3. Ijma’ para Sahabat
  4. Pendapat peribadi Sahabat
  5. Hadith Daif (lemah)
  6. Qiyas

Pelajar beliau yang terkenal adalah dua orang anak beliau sendiri iaitu Salih (m.873M) dan Abdullah (m.903M) selain daripada Imam Bukhari dan Imam Muslim yang belajar ilmu hadith daripada beliau. Pengikut Mazhab Hanbali majoritinya terdapat di Palestin dan Arab Saudi.

9) Mazhab Dhahiri

Pengasasnya adalah Dawood ibn Alee yang dilahirkan di Kufah pada 815M (m.883M). Pada awalnya,belajar fiqh di bawah pelajar Imam Shafi’ie namun kemudian bertukar ke bidang hadith dan belajar di bawah Imam Ahmad ibn Hanbal. Namun begitu,beliau disingkirkan daripada kuliah pengajian Imam Ahmad ibn Hanbal atas faktor mengatakan bahawa Quran adalah makhluk kerana beliau telah terpengaruh dengan falsafah Muktazilah. Setelah disingkirkan,beliau mencipta mazhab sendiri dan berpendapat bahawa sumber hukum yang boleh diterima adalah makna Quran dan Sunnah secara zahir sahaja. Oleh kerana itu,mazhab beliau dinamakan Dhahiri dan beliau digelar Daawood Adh-Dhahiri.

Dari segi sumber hukum,beliau hanya menerima tafsiran Quran dan Sunnah secara zahir sahaja. Beliau juga menolak ijma’ para Sahabat kerana berpendapat ijma’ para Sahabat adalah Qiyas daripada Sunnah Rasulullah s.a.w. Maka,secara tidak langsung,beliau juga menolak penggunaan Qiyas sebagai sumber hukum.

Mazhab beliau gagal mendapat tempat di zamannya dan 1 ½ abad selepas kematian beliau. Walaupun begitu,salah seorang pengikut mazhab beliau selepas itu berjaya menonjolkan mazhab beliau iaitu Ali ibn Ahmad ibn Hazm al-Andaloosee (m.1070M) atau lebih dikenali sebagai Ibn Hazm. Ibn Hazm berjaya mengembangkan mazhab Dhahiri di Andalus. Namun begitu,mazhab ini lenyap setelah kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol.

10) Mazhab Jariri

Diasaskan oleh Imam At-Tabari (839-923M) atau nama sebenar beliau adalah Muhammad ibn Jareer ibn Yazid at-Tabari yang dilahirkan di wilayah Tabaristan. Pakar dalam pelbagai bidang,khususnya hadith, fiqh dan sejarah. Sebagai seorang ulama yang gemar mengembara,beliau telah mempelajari mazhab Hanafi,Maliki Shafi’ie dan lain-lain. Pada 10 tahun pertama kembalinya beliau dari Mesir,beliau mengamalkan mazhab Shafi’ie.Namun kemudiannya,beliau mengasaskan mazhab beliau sendiri yang digelar Jariri;bersempena nama ayah beliau.

Ibn Jarir terkenal dengan kitab beliau iaitu Tafsir at-Tabari dan Tarikh at-Tabari.

Penutup

Maka,begitulah sedikit sebanyak sejarah dan perkembangan mazhab-mazhab fiqh dalam lembaran sejarah umat Islam. Tujuan dikarang artikel ini hanyalah untuk sebagai menambah khazanah ilmu pengetahuan kita mengenai agama kita sendiri. Dalam masa yang sama ingin menonjolkan betapa fleksibelnya Islam dari segi hubungan sehari-harian dan muamalat walaupun masih terdapat beberapa aspek dan prinsip yang tetap dan tidak boleh diubah lagi.Wallahualam…

*Bahan untuk artikel ini diambil daripada buku “The Evolution of Fiqh (Islamic Law & The Madh-habs)” tulisan Dr.Abu Aminah Bilal Philips terbitan A.S Noordeen. Buku ini merupakan antara rujukan bagi subjek “Introduction to Fiqh” di Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM.


Responses

  1. Howdy! This is kind of off topic but I need some advice from
    an established blog. Is it very hard to set up
    your own blog? I’m not very techincal but I can figure things out pretty quick. I’m thinking about creating my own but
    I’m not sure where to begin. Do you have any points or suggestions? Cheers

    • Thank you for asking. For me, one you set up a blog, there are several thing which you need to pay attention. First, on maintaining it. Sometimes, it quite difficult to make sure your blog is always updated. It need a discipline from your self. Second thing is, to make sure your blog also benefits others especially if you want to set up an information based blog like mine. I thinks that all I can say since I also still new in blogger’s world.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: