Posted by: Hazizie Sulkafle | Disember 13, 2011

Kitaran Sesebuah Kerajaan Menurut Pandangan Ibn Khaldun

Sejarah, Tamadun dan Kerajaan adalah tiga aspek yang berbeza namun ketiga-tiga aspek ini bukan sahaja tidak dapat dipisahkan bahkan saling melengkapi antara satu sama lain. Kenapa saya mengatakan begitu? Jawapanya cukup mudah dan tersurat, tanpa memerlukan penelitian yang panjang dan mendalam. Apabila kita membaca sejarah, secara tidak langsung kita akan melalui tamadun dan dalam setiap tamadun akan wujudnya kerajaan.

Kita ambil sejarah Islam sebagai contoh. Apabila kita membaca sejarah Islam, bermakna kita juga membaca tamadun Islam. Dalam masa yang sama juga kita akan bertemu dengan pelbagai kerajaan yang wujud dalam sejarah dan tamadun Islam seperti era Khulafa Rasyidin, Dinasti Umayyah, Dinasti Abbasiyyah, Dinasti Turki Uthmaniyyah dan Dinasti Moghul di India.

Dalam sejarah, wujudnya tamadun dan sesuatu kerajaan tidak akan dapat berdiri tanpa tamadun. Sejarah boleh berdiri sendiri tanpa tamadun dan kerajaan,namun tidak lengkaplah perjalanan sejarah itu. Tetapi, tamadun dan kerajaan memerlukan sejarah untuk berdiri. Jika kita ingin membincangkan ketiga-tiga unsur ini, perbincangan nya cukup panjang dan atas sebab itu, dalam artikel kali ini saya ingin memfokuskan kepada ‘Kerajaan’.

Menurut pandangan Ibn Khaldun, perkembangan kerajaan mempunyai 5 tahap. Dalam fasa yang pertama, sesebuah kaum yang bersandarkan semangat Assabiyyah yang tinggi dan kuat akan mula bergerak untuk membentuk sebuah identiti politik. Dalam kerangka membentuk identiti politik atau kerajaan, mereka akan menentang dan menyerang kerajaan yang sedia ada dan menggantikannya. Penguasa yang baru akan mendapatkan hak kedaulatan daripada dinasti sebelumnya.

Peristiwa ini begitu lazim dalam lipatan sejarah. Dinasti Abbasiyyah bermula dengan penentangan terhadap pemerintahan Dinasti Umayyah yang mula melemah dan penuh dengan kelalaian dan salah guna kuasa. Atas dasar ini mereka meraih sokongan orang awam dan bangkit menjatuhkan Dinasti Umayyah. Setelah itu, Dinasti Abbasiyyah mengumumkan diri mereka sebagai penyambung Dinasti Umayyah.

Dalam fasa ini, perasaan kekitaan atau affiliation begitu kuat dalam kalangan pendiri kerajaan tersebut. Mereka disokong oleh keluarga atau kaum mereka. Tulang belakang kejayaan mereka adalah kaum kerabat mereka. Oleh sebab itu, dalam fasa ini kaum kerabat cukup diutamakan dan dilayan dengan begitu baik. Mereka juga cukup baik dengan rakyat untuk mengambil hati mereka dan meraih sokongan. Juga untuk menunjukkan bahawa mereka lebih baik berbanding kerajaan yang sebelumnya dan tujuan kedatangan mereka adalah untuk menjaga hak-hak rakyat.

Kemudian masuk fasa kedua bagi sebuah kerajaan. Perluasan kuasa,pengaruh dan wilayah bermula dengan giat ketika ini. Oleh sebab itu, fasa ni dikenali sebagai fasa perluasan dan pengukuhan kerajaan.Dalam fasa ini, pemerintah ataupun raja akan berusaha untuk megukuhkan kekuasan yang ada. Selain daripada perluasan kuasa dan pengaruh ke wilayah lain, raja juga akan memastikan kekuasaan kekal berada dalam keluarganya sahaja; yakni kekuasaan adalah warisan mutlak keluarganya.

Ketka ini,raja akan menolak penguasaan dan pengaruh kaum kerabatnya dengan sedikit demi sedikit menafikan hak dan penglibatan mereka dalam pentadbiran. Raja bahkan lebih mempercayai orang luar dalam membantu dan menasihati urusan pentadbiran. Jika sekiranya fasa pertama mengutamakan kaum kerabat, fasa kedua mengutamakan orang luar. Hal ini didorong oleh perasaan inginkan kekuasaan kekal di tangan keluarganya dan mula timbul syak wasangka akan berlakunya perebutan kuasa oleh kerabatnya yang lain.

Kita dapat melihat situasi ini dalam perjalanan sejarah Dinasti Abbasiyyah yang mana sedikit demi sedikit orang bukan Arab mendapat tempat dalam pentadbiran. Secara tidak langsung, pengaruh Arab dalam pentadbiran semakin berkurang dan meningkatnya pengaruh luar. Menurut pendangan Ibn Khaldun lagi, fasa ini sebenarnya adalah permulaan kepada kejatuhan sesuatu kerajaan.

Fasa ketiga adalah fasa di mana kerajaan melalui zaman kemewahan dan kesenangan hasil usaha pemerintah sebelumnya. Pemerintah hanya tertumpu kepada menunjukkan kekuasaan dan kemewahan yang ada serta mengekalkan kekayaan kerajaan. Kutipan cukai semakin kerap sebagai sumber utama kewangan kerajaan. Bangunan-bangunan yang hebat dan melambangkan kemegahan giat dibina seperti masjid, istana dan kota.

Kehidupan rakyat juga semakin kompleks dan mewah. Hadiah-hadiah diberikan bukan sahaja kepada yang layak,bahkan kepada yang tidak berkelayakan. Kelengkapan ketenteraan semakin bertambah dan canggih. Semua ini bertujuan menundukkan kawan dan menggerunkan lawan serta sebagai lambang kekuasaan dan kemewahan kerajaan. Namun, malangnya fasa ini adalah fasa terakhir di mana raja berkuasa sepenuhnya ke atas rakyat.

Apa yang ada dijaga dengan sebaik mungkin dan dengan ketat. Amalan,tradisi dan norma yang sedia ada dipelihara dan dipastikan kelangsungannya. Sebarang pembaharuan atau perubahan bukan sahaja dikecam hebat bahkan dituduh akan merosakkan kemakmuran dan kemewahan yang dikecapi tanpa menyedari bahawa tanpa perubahan dan pembaharuan tersebut, kerajaan semakin lama semakin melemah dan mereput. Rakyat dan pemerintah menjadi begitu lemah dan manja. Cepat mengalah dan tidak tahan lasak. Apa yang diketahui adalah menikmati kesenangan yang ada seolah-olah semua itu akan kekal selama-lamanya. Tanpa mereka sedari, musuh dan bangsa lain hanya menuggu peluang untuk menyerang dan merampas kemewahan dan kekuasaan yang mereka ada. Inilah perkara yang terjadi dalam fasa keempat; fasa   kelalaian dan berpuas hati dengan apa yang ada.

Akhirnya, kerajaan tersebut jatuh setelah penguasanya hanya berfoya-foya saban hari dan melakukan pembaziran. Rakyat dipandang sebagai sumber kekayaan semata-mata dan menjadi kewajipan bagi rakyat untuk memenuhi nafsu dan selera pemerintah. Keadaan dan kebajikan rakyat tidak dipedulikan. Tanpa disedari, rakyat mula mengumpulkan kekuatan untuk menggulingkan pemerintah dan menubuhkan pemerintahan yang baru. Ataupun pihak luar mula mengatur langkah untuk mengambil alih kekuasaan seperti mana yang terjadi ke atas Dinasti Abbasiyyah pada 1258 akibat diserang oleh tentera Mongol. Inilah dia fasa terakhir, fasa kejatuhan dan kehancuran bagi sesebuah kerajaan.

Dua fasa terakhir dapat dilihat dengan jelas dalam setiap kerajaan yang telah jatuh. Kelima-lima fasa ini akan berulang dan terus berulang. Adakah fasa-fasa ini tidak dapat diubah dan akan terus berlaku? Sebenarnya itulah kenyataannya. Sejarah akan terus berulang dan berulang dengan sendirinya. Walaupun kita peka akan keadaan ini, kita masih tidak dapat mengelaknya. Perkara yang dapat kita lakukan hanyalah memanjangkan hayat sesuatu kerajaan.

Memastikan kelangsungan sesuatu kerajaan umpama satu larian yang berterusan. Sampai satu masa, pelari tersebut pasti akan penat dan berhenti. Perkara yang berbeza hanyalah berapa lama pelari tersebut mampu meneruskan lariannya. Sejauh mana ketahanan pelari tersebut. Begitu juga dengan kerajaan dan apa yang kita mampu lakukan. Selama mana mana kita dapat melatih dan mengekalkan ketahanan stamina kita dalam meneruskan larian.

Bangsa Arab telah berlari selama 647 tahun (611-1258) membawa panji-panji kegemilangan pemerintahan Islam. Larian tersebut disambung pula oleh bangsa Turki untuk 635 tahun seterusnya (1289-1924) hinggalah saat kejatuhan Daulah Turki Uhtmaniyyah. Buat masa sekarang, larian tersebut telah terhenti. Maka, persoalannya, bangsa mana pulakah selepas ini yang akan menyambung larian sebelum ini? Larian mengibarkan panji-panji kegemilangan pemerintahan berdasarkan Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. ke seluruh alam.

Sejarah akan terus berjalan, tamadun akan terus berkembang, manakala kerajaan pula akan bersilih ganti. Semuanya akan berjalan mengikut Sunnatullah.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: