Posted by: Hazizie Sulkafle | Ogos 16, 2012

Sejarah-Satu Mentaliti yang perlu diubah (Siri 2)

Setelah hampir setengah tahun saya menulis “Sejarah-Satu Mentaliti yang perlu diubah (Siri 1), saya ingin menyambung perbincangan yang lepas dalam siri yang ke-2. Dalam siri ini, saya akan memfokuskan kepentingan sejarah dalam kehidupan kita berdasarkan pemahaman saya sendiri setelah 2 tahun menceburkan diri dalam bidang sejarah.

Penting ke Sejarah?

Bagi saya, ini adalah soalan yang cukup penting untuk dijawab dalam kerangka ingin menarik minat generasi muda terhadap sejarah; sama ada untuk menarik mereka menceburi bidang sejarah ataupun untuk menarik minat mereka dalam mempelajari dan menghayati sejarah. Sepertimana generasi muda didedahkan dengan kepentingan bidang perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan sebagainya, sehingga mereka minat dan teruja untuk menceburi bidang-bidang tersebut.

Sejarah adalah satu bidang yang mampu mengubah persepsi dan mentaliti sesuatu masyarakat. Dalam hal ini saya akan membawa satu situasi yang cukup mudah yang pernah saya dengar daripada seseorang. Beliau mengatakan bahawa dengan satu pernyataan yang mudah “Orang Melayu dahulu bukanlah petani tetapi peniaga dan pedagang” dan jika pernyataan ini dapat dibuktikan dengan fakta sejarah, sudah tentu fakta ini mampu mengubah persepsi masyarakat Melayu sekarang.

Sudah tentu dengan pernyataan ini, masyarakat Melayu akan mula sedar dan mula untuk berdaya saing terutama dari sudut ekonomi. Siapa yang tidak bangga jika dikatakan bahawa dahulunya nenek moyangnya adalah orang yang kaya raya dan berjaya? Siapa yang tidak termotivasi untuk mengubah nasib diri dan bangsanya jika diketahui dengan yakin bahawa nenek moyangnya dahulu adalah satu golongan yang cukup hebat dan memainkan peranan penting dalam kitaran masyarakat?

Namun, saya tidak nafikan bahawa untuk menjadi bangsa yang hebat, tidak cukup hanya dengan celik sejarah. Tetapi, sejarah berperanan sebagai satu titik permulaan dan pencetus kepada satu kesedaran yang membawa kepada satu usaha untuk mencapai kejayaan yang telah dikecapi dahulu. Malah kejayaan yang dicapai mungkin lebih hebat lagi. Saya juga bukanlah bermaksud ingin merendah-rendahkan pekerjaan petani. Saya mengakui setiap individu dalam masyarakat tanpa mengira taraf dan pekerjaan mempunyai peranan masing-masing. Tetapi jika semuanya ingin menjadi petani, nelayan dan  kerani siapa pula yang akan mengisi kekosongan peranan yang lain? Mentaliti inilah yang perlu diubah. Dalam masa yang sama, masyarakat Melayu perlulah menjadi satu kelompok yang proaktif. Menjadi petani yang bukan sahaja sekadar cukup-cukup makan, bahkan memasarkan secara giat hasil tanaman mereka. Dalam masa yang sama juga berusaha untuk mencapai taraf yang lebih baik.

Mentaliti majoriti masyarakat kita sekarang, terlalu mudah berpuas hati dengan apa yang ada. Memang betul Islam menggalakkan umatnya untuk bersifat  ‘Qana’ah’ yakni merasa cukup dan  bersyukur dengan apa yang ada tanpa meminta sesuatu yang berlebihan. Tetapi sekiranya sikap ini menyebabkan masyarakat Islam menjadi mundur dan tidak berdaya saing sehingga terpaksa bergantung harap pada orang lain, maka terdapat satu kesalahfahaman di sini dalam memahami dan mengamalkan sikap tersebut.

Selain itu, celik sejarah juga penting dalam kerangka untuk mengembalikan jati diri dan kekuatan sesuatu bangsa atau kelompok masyarakat agar menjadi bangsa yang berdaya saing dan dihormati kawan serta ditakuti lawan. Sebagai contoh, mengapakah umat Islam di Patani dan Arakan(Rakhine) masih ditindas dengan teruk dan setakat ini, masih belum wujud satu kesedaran dan kekuatan dalam kalangan mereka untuk bangkit berjuang? Antara faktor yang menyebabkan hal ini adalah apabila mereka sentiasa dimomokkan bahawa nenek moyang mereka bukanlah pejuang. Mereka adalah rakyat biasa yang menjadi jajahan Thailand (bagi Patani) dan Myanmar [bagi Rohinya di Arakan(Rakhine)].

Tidak dinafikan bahawa telah sedia maklum bahawa dahulunya mereka adalah satu kerajaan yang hebat. Tetapi  kenyataan ini tidak dimomokkan kepada mereka. Bahkan, cara disampaikan kepada mereka mengenai kejayaan dan kekuatan bangsa mereka dahulu seolah-olah fakta-fakta tersebut hanyalah satu lagenda penglipurlara. Fakta-fakta tersebut juga hanya diceritakan tanpa adanya usaha yang serius dan tersusun untuk kembali mencapai kejayaan dan kekuatan tersebut.

Begitu juga dengan bangsa Melayu. Memang betul dahulunya kebanyakan bangsa Melayu adalah petani. Hanya yang tinggal di bandar-bandar pelabuhan sahaja seperti Melaka yang majoritinya hidup sebagai pedagang dan peniaga. Tetapi sedarkah kita walaupun mereka ini petani, mereka adalah petani yang merdeka. Petani yang tidak bergantung harap kepada pihak lain untuk hidup. Ini bermaksud mereka adalah petani yang proaktif, berdaya saing, berwawasan dan mempunyai survival hidup yang tinggi. Tetapi, bagaimana pula kita hari ini? Kebanyakan tanah yang ada sama ada dijual kepada orang lain hanya untuk mengaut keuntungan yang segera atau dipajakkan kepada orang lain untuk diusahakan dan berpuas hati dengan hasil pajak RM70-RM100 setiap bulan. Sedangkan orang yang dipajakkan tanah itu mendapat laba yang lebih tinggi setiap bulan yang mencapai ribuan ringgit.

Apa alasan kita? Tiada orang yang hendak menguruskan dan mengusahakan tanah tersebut. Ada yang menyebutkan sekarang ini bukanlah zaman untuk bercucuk tanam tetapi zaman industri dan teknologi maklumat. Jika benar tiada orang yang hendak mengusahakan tanah tersebut, bagaimana boleh keluarnya statistik bahawa orang Melayu antara yang ramai menganggur tanpa pekerjaan? Yang akhirnya melukut ditepi gantang di bumi sendiri? Memang betul sekarang zaman industri dan teknologi maklumat. Namun, apakah yang kita makan? Adakah kita makan telefon bimbit? Komputer riba? Ipad? Tidak sama sekali. Yang menjadi makanan asasi kita adalah nasi, sayur-sayuran, buah-buahan.

Mungkin juga kita akan katakan bahawa sudah menjadi sikap orang Melayu begitu turun temurun; malas, lesu, suka kerja yang senang, tidak pandai mengurus. Persoalannya, betulkah begitu sikap orang Melayu? Jika betullah orang Melayu begitu, mustahil akan wujudnya Empayar Melaka yang diiktiraf antarabangsa. Mustahil akan wujudnya pelabuhan Kalah (Kedah) yang merupakan antara pelabuhan yang terawal dan terpenting berkurun lamanya. Sedarlah bahawa suatu masa dahulu kita adalah bangsa yang hebat dan kita bertambah hebat dengan kedatangan Islam.

Semua ini adalah hasil usaha penjajah yang memomokkan kita bahawa kita ini adalah satu bangsa yang tiada apa yang boleh dibanggakan. Hal ini kerana dahulunya, kita enggan tunduk dengan permintaan penjajah yang hanya menguntungkan diri mereka sahaja. Bukannya kita tidak mengetahui akan kehebatan dan kejayaan bangsa kita dahulu. Tetapi seperti yang saya katakan, semua kehebatan dan kejayaan itu disampaikan dalam keadaan seolah-olah ianya satu perkara yang mustahil untuk berulang kembali.

Lihatlah bagaimana anak-anak kecil bangsa Israel dimomokkan semenjak dari kecil lagi bahawa mereka adalah bangsa pilihan Tuhan, bangsa yang terbaik dan semua bangsa yang lain adalah diciptakan untuk menjadi hamba mereka dan semua momokkan ini disandarkan kepada sejarah bangsa mereka. Akhirnya, bagaimanakah hasil momokkan tersebut? Mereka membesar menjadi satu bangsa yang hebat. Merekalah cendekiawan, merekalah saintis tersohor, merekalah ushawan yang berjaya, merekalah segala-galanya.

Jadi apa yang dapat saya katakan bahawa kenyataan sejarah dan cara sejarah disampaikan sebenarnya cukup penting kepada sesuatu bangsa dalam mereka membina jati diri dan tamadun mereka. Mungkin tulisan saya kali ini agak berbeza, namun begitulah hakikatnya. Oleh kerana kurang peka akan sejarah bangsa sendiri, ramai orang Melayu yang malu untuk mengaku Melayu. Ramai orang Melayu yang gagal mempertahankan hak dan nasib mereka sendiri. Ramai yang mengulangi kesilapan lampau yang mana jika tidak dibaiki dari sekarang akan membawa kepada terjajahnya bangsa Melayu di bumi sendiri.

Bangsa Melayulah satu-satunya bangsa yang meletakkan Islam sebagai salah satu cirinya. Menunjukkan bahawa satu masa dahulu, betapa eratnya hubungan bangsa Melayu dengan agama Islam. Betapa akrabnya dan meleburnya bangsa Melayu dengan ajaran Islam. Bukanlah saya ingin mengagung-agungkan bangsa Melayu. Tetapi niat saya adalah untuk membuka mata dan minda orang Melayu untuk kembali kepada Islam. Mengingatkan kepada diri dan bangsa saya sendiri bahawa satu ketika dahulu kita hebat dengan Islam. Kedatangan Islam membawa 1001 sinar dan ‘Nur’ kepada bangsa Melayu. Jika betul bangsa Melayu ini tiada apa yang boleh dibanggakan, mengapa Empayar China sudi mengiktiraf Kerajaan Melayu Melaka? Antara faktor mengapa China sudi mengiktiraf bangsa Melayu kerana agama dan pegangan kita adalah Islam yang mana semenjak abad ke-9 Masihi lagi, orang Arab Islam telah menetap  di China dan memakmurkan ekonomi China. Menguasai jaringan laluan perdagangan antara Timur dan Barat,

*Semua yang saya nukilkan berdasarkan pembacaan, pengalaman dan perbincangan saya dengan beberapa individu. Saya tidak nafikan mungkin terdapat salah silap saya dan kekurangan saya. Tetapi, inilah yang saya fahami mengenai situasi semasa bangsa Melayu secara amnya. Antara faktornya, kita kurang menghayati sejarah perjalanan bangsa kita. Kita terlalu asyik denga sejarah orang lain sehingga kita rasa rendah diri dan tidak punya apa-apa. Terlupa dengan sejarah kita sendiri. Sedangkan kita punya satu sejarah yang hebat. Sejarah yang membuktikan dengan jelas bahawa dengan Islam, kita tercatat antara bangsa yang hebat yang setanding dengan bangsa-bangsa lain. Kunci kejayaan dan kekuatan kita adalah ISLAM dan PERPADUAN.


Responses

  1. perspektif pandangan yang menarik:)


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: