Posted by: Hazizie Sulkafle | Jun 10, 2013

Sejarah – Satu Mentaliti yang perlu diubah (Siri 3)

Bagaimanakah membaca sejarah?

Berdasarkan pemerhatian saya, antara perkara yang penting sama ada dalam membaca, mempelajari dan mengkaji sejarah adalah cara untuk membaca sumber-sumber sejarah itu sendiri. Pada masa yang sama, aspek inilah; yang mana kurang difahami atau kurang diberi perhatian terutama oleh pembaca umum telah menyebabkan timbulnya kekeliruan atau ketidakpercayaan terhadap sejarah – yang akhirnya umum menganggap sejarah itu tidak tepat, berat sebelah, dan tidak boleh dipercayai.

Jadi, sebagai pembaca umum, bagaimanakah cara yang sebetulnya untuk membaca sejarah? E.H. Carr menyatakan “to study history, we need to study the historians first”. Oleh itu, sebelum kita membaca sesuatu sumber atau buku sejarah, kita perlu mengenali penulisnya dahulu secara ringkas. Siapakah beliau – termasuk persoalan latar belakang pendidikan dan kerjaya beliau, untuk siapa beliau menulis, bila beliau menulis dan berdasarkan objektif atau rangka kajian apa beliau menulis.

Cara penulisan dan analisis setiap penulis bergantung kepada latar belakang pendidikan dan kerjaya beliau. Penulis yang mendapat pendidikan di negara-negara Barat; sebagai contoh mempunyai cara penulisan dan pandangan yang berbeza dengan penulis yang menerima pendidikan di negara-negara Timur. Hal ini kerana sejarah sendiri mempunyai beberapa aliran yang berbeza dalam membuat kajian dan analisis. Penulis bebas berbeza dengan penulis yang terikat dengan sesuatu institusi atau organisasi.

Jangka masa bila sejarah itu ditulis juga mempengaruhi penulis. Gaya penulisan penulis abad ke-9 berbeza dengan penulis abad ke-15, dengan penulis abad ke-19. Hal ini dipengaruhi oleh suasana masharakat ketika itu. Penulisan sejarah sebelum arus humanisme menguasai pemikiran dunia berbeza dengan penulisan sejarah selepasnya. Ketika pemerintahan beraja dianggap sebagai satu entiti politik yang ideal, sudah tentu penulisan sejarah akan terfokus kepada apa yang berlaku dalam kehidupan seharian golongan istana; isu-isu yang berlaku, urusan diplomatik yang berlangsung dan peristiwa-peristiwa yang memberi kesan kepada perjalanan negara yang berlaku disekitar kehidupan istana.

Menjelang arus humanisme menguasai pemikiran dunia; terutama selepas berlakunya Revolusi Perancis, perhatian lebih diberikan kepada kehidupan masharakat umum berbanding kehidupan golongan istana atau aristrokrat. Penulisan sejarah lebih menjurus kepada corak kehidupan masharakat umum – budaya mereka, cara pemikiran mereka, evolusi dan perkembangan ekonomi dan sosial mereka. Jadi, bolehkah kita mengatakan bahawa penulis yang terkemudian lebih objektif dan lebih baik daripada penulis yang terdahulu? Sudah semestinya tidak semestinya dan perbandingan ini adalah atas satu skala yang tidak seimbang.

Untuk siapa seseorang penulis menulis sejarah dan adakah beliau penulis yang bebas atau terikat juga mempengaruhi cara penulisan beliau. Sudah tentu penulis bebas lebih lantang dan bebas dalam menyatakan analisis yang dibuat oleh beliau berbanding penulis yang terikat dengan sesuatu organisasi atau institusi kerana mereka terikat dengan matlamat dan polisi organisasi tersebut. Tetapi perbezaan ini masih tidak dapat dijadikan sebagai satu kata pemutus dalam menilai kredibiliti penulis. Kadang kala penulis yang terikat lebih baik berbanding dengan penulis yang bebas – kerana mereka mempunyai satu garis panduan, rangka kerja dan cara penilaian yang lebih terkawal. Penulis bebas pula, dek kerana kebebasan yang ada mungkin kadang kala akan mengatakan pendapat beliau dengan sesuka hati.

Jadi, jika aspek-aspek yang disebut di atas bukanlah satu kata garis pemisah untuk memilih penulis, apakah tujuannya? Tujuan kita mengenali penulis terlebih dahulu adalah agar ketika dalam proses pembacaan, kita dapat mengetahui dan memahami mengapa beliau mengatakan perkara itu sedemikian rupa. Mengapa beliau membuat kesimpulan tersebut, mengapa analisis beliau adalah seperti itu, dan mengapa beliau telalu menekan aspek-aspek tertentu.

Melalui pemahaman ini, maka kita dapat menilai kredibiliti beliau, menilai kekuatan hujah-hujah beliau, menilai kesesuaian pendapat beliau dengan keadaan semasa dan akhirnya membuat kesimpulan kita sendiri. Sebenarnya, tugas utama penulis sejarah bukanlah untuk menghukum atau memberi kata putus atas sesuatu perkara, tetapi untuk menyatakan fakta-fakta yang ada, mengetengahkan perbincangan-perbincangan yang ada yang memberi pendapat beliau sendiri yang akhirnya tetap bergantung kepada pembaca untuk menilainya sendiri. Pembaca juga tidak semestinya perlu terikat dengan pendapat seseorang penulis. Pembaca mempunyai hak untuk menilai, menerima dan menolaknya.

Antara isu lain juga mengenai penulis adalah siapa penulis itu – Muslim atau bukan? Orientalist atau bukan? Bagi saya, dua perkara ini juga bukanlah satu garis pemisah yang muktamad dalam menerima atau menolak analisis, penulisan dan pandangan seseorang itu. Tidak semestinya penulis sejarah Muslim lebih objektif dan telus berbanding penulis bukan Muslim. Begitu juga dengan para orientalist. Namun begitu, saya masih berpegang bahawa kita perlu mengutamakan penulis Muslim.

Tidak dinafikan ramai orientalist dan penulis bukan Muslim yang berat sebelah dan kredibilitinya tidak boleh dipercayai. Tetapi, tidak semuanya begitu. Masih ada penulis bukan Muslim dan orientalist yang boleh dipegang pendapat dan analisisnya. Hal ini kerana tidak dapat tidak, kita terpaksa menerima realiti bahawa mereka mempunyai satu rangka dan etika kerja yang baik; yang mana jika mereka ikuti dengan betul, tidak mustahil mereka mampu menghasilkan satu penulisan yang baik. Malahan, jika kita mampu mengikut rangka dan etika kerja mereka, saya pasti kita dapat menghasilkan sesuatu yang sebaik atau lebih baik daripada mereka. Namun begitu, saya masih berpendapat untuk langkah keselamatan dan bagi mengelakkan kesan negatif, karya-karya mereka ini tidak patut digalakkan untuk dibaca oleh pembaca umum yang tidak mempunyai asas yang mencukupi.

Secara amnya, ianya bergantung kepada usaha kita sendiri dalam membaca hasil tulisan mereka. Kita mestilah bijak menilai dan tidak menerima bulat-bulat pandangan mereka. Ketika inilah, pentingnya untuk kita mengenali siapa penulis tersebut. Sebagai contoh, saya telah membaca antaranya The Prophet and the Age of the Caliphate karya Hugh Kennedy dan The Venture of Islam: Conscience and History in a World Civilization (volume I) karya Marshall G.S. Hodgson, History of the Arabs karya Philip K. Hitti dan The History of the Arab Peoples karya Albert Hourani. Bagi saya, sebahagian daripada analisis dan pendapat mereka boleh diterima dan baik; walaupun tidak dinafikan tetap wujud beberapa analisis dan kenyataan yang tidak boleh diterima atau kurang tepat (berdasarkan kapasiti saya). Sebab itulah akhirnya, saya katakan tetap bergantung kepada pembaca untuk menilainya.

Namun begitu, mengenali penulis sejarah bukanlah satu-satunya cara untuk membaca sejarah. Bagi saya, masih terdapat dua lagi elemen yang perlu dalam membaca sejarah. Satu, persediaan pembaca itu sendiri dalam melengkapi diri mereka dengan fakta-fakta asas sejarah dan kedua, kepekaan pembaca dalam menilai pendapat dan pandangan penulis sejarah. Jika ketiga-tiga elemen ini dapat digabungkan ketika membaca sejarah, sudah tentu kita dapat memahami dan menilai sejarah dan penulisnya dengan lebih baik.

Posted by: Hazizie Sulkafle | Ogos 16, 2012

Sejarah-Satu Mentaliti yang perlu diubah (Siri 2)

Setelah hampir setengah tahun saya menulis “Sejarah-Satu Mentaliti yang perlu diubah (Siri 1), saya ingin menyambung perbincangan yang lepas dalam siri yang ke-2. Dalam siri ini, saya akan memfokuskan kepentingan sejarah dalam kehidupan kita berdasarkan pemahaman saya sendiri setelah 2 tahun menceburkan diri dalam bidang sejarah.

Penting ke Sejarah?

Bagi saya, ini adalah soalan yang cukup penting untuk dijawab dalam kerangka ingin menarik minat generasi muda terhadap sejarah; sama ada untuk menarik mereka menceburi bidang sejarah ataupun untuk menarik minat mereka dalam mempelajari dan menghayati sejarah. Sepertimana generasi muda didedahkan dengan kepentingan bidang perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan sebagainya, sehingga mereka minat dan teruja untuk menceburi bidang-bidang tersebut.

Sejarah adalah satu bidang yang mampu mengubah persepsi dan mentaliti sesuatu masyarakat. Dalam hal ini saya akan membawa satu situasi yang cukup mudah yang pernah saya dengar daripada seseorang. Beliau mengatakan bahawa dengan satu pernyataan yang mudah “Orang Melayu dahulu bukanlah petani tetapi peniaga dan pedagang” dan jika pernyataan ini dapat dibuktikan dengan fakta sejarah, sudah tentu fakta ini mampu mengubah persepsi masyarakat Melayu sekarang.

Sudah tentu dengan pernyataan ini, masyarakat Melayu akan mula sedar dan mula untuk berdaya saing terutama dari sudut ekonomi. Siapa yang tidak bangga jika dikatakan bahawa dahulunya nenek moyangnya adalah orang yang kaya raya dan berjaya? Siapa yang tidak termotivasi untuk mengubah nasib diri dan bangsanya jika diketahui dengan yakin bahawa nenek moyangnya dahulu adalah satu golongan yang cukup hebat dan memainkan peranan penting dalam kitaran masyarakat?

Namun, saya tidak nafikan bahawa untuk menjadi bangsa yang hebat, tidak cukup hanya dengan celik sejarah. Tetapi, sejarah berperanan sebagai satu titik permulaan dan pencetus kepada satu kesedaran yang membawa kepada satu usaha untuk mencapai kejayaan yang telah dikecapi dahulu. Malah kejayaan yang dicapai mungkin lebih hebat lagi. Saya juga bukanlah bermaksud ingin merendah-rendahkan pekerjaan petani. Saya mengakui setiap individu dalam masyarakat tanpa mengira taraf dan pekerjaan mempunyai peranan masing-masing. Tetapi jika semuanya ingin menjadi petani, nelayan dan  kerani siapa pula yang akan mengisi kekosongan peranan yang lain? Mentaliti inilah yang perlu diubah. Dalam masa yang sama, masyarakat Melayu perlulah menjadi satu kelompok yang proaktif. Menjadi petani yang bukan sahaja sekadar cukup-cukup makan, bahkan memasarkan secara giat hasil tanaman mereka. Dalam masa yang sama juga berusaha untuk mencapai taraf yang lebih baik.

Mentaliti majoriti masyarakat kita sekarang, terlalu mudah berpuas hati dengan apa yang ada. Memang betul Islam menggalakkan umatnya untuk bersifat  ‘Qana’ah’ yakni merasa cukup dan  bersyukur dengan apa yang ada tanpa meminta sesuatu yang berlebihan. Tetapi sekiranya sikap ini menyebabkan masyarakat Islam menjadi mundur dan tidak berdaya saing sehingga terpaksa bergantung harap pada orang lain, maka terdapat satu kesalahfahaman di sini dalam memahami dan mengamalkan sikap tersebut.

Selain itu, celik sejarah juga penting dalam kerangka untuk mengembalikan jati diri dan kekuatan sesuatu bangsa atau kelompok masyarakat agar menjadi bangsa yang berdaya saing dan dihormati kawan serta ditakuti lawan. Sebagai contoh, mengapakah umat Islam di Patani dan Arakan(Rakhine) masih ditindas dengan teruk dan setakat ini, masih belum wujud satu kesedaran dan kekuatan dalam kalangan mereka untuk bangkit berjuang? Antara faktor yang menyebabkan hal ini adalah apabila mereka sentiasa dimomokkan bahawa nenek moyang mereka bukanlah pejuang. Mereka adalah rakyat biasa yang menjadi jajahan Thailand (bagi Patani) dan Myanmar [bagi Rohinya di Arakan(Rakhine)].

Tidak dinafikan bahawa telah sedia maklum bahawa dahulunya mereka adalah satu kerajaan yang hebat. Tetapi  kenyataan ini tidak dimomokkan kepada mereka. Bahkan, cara disampaikan kepada mereka mengenai kejayaan dan kekuatan bangsa mereka dahulu seolah-olah fakta-fakta tersebut hanyalah satu lagenda penglipurlara. Fakta-fakta tersebut juga hanya diceritakan tanpa adanya usaha yang serius dan tersusun untuk kembali mencapai kejayaan dan kekuatan tersebut.

Begitu juga dengan bangsa Melayu. Memang betul dahulunya kebanyakan bangsa Melayu adalah petani. Hanya yang tinggal di bandar-bandar pelabuhan sahaja seperti Melaka yang majoritinya hidup sebagai pedagang dan peniaga. Tetapi sedarkah kita walaupun mereka ini petani, mereka adalah petani yang merdeka. Petani yang tidak bergantung harap kepada pihak lain untuk hidup. Ini bermaksud mereka adalah petani yang proaktif, berdaya saing, berwawasan dan mempunyai survival hidup yang tinggi. Tetapi, bagaimana pula kita hari ini? Kebanyakan tanah yang ada sama ada dijual kepada orang lain hanya untuk mengaut keuntungan yang segera atau dipajakkan kepada orang lain untuk diusahakan dan berpuas hati dengan hasil pajak RM70-RM100 setiap bulan. Sedangkan orang yang dipajakkan tanah itu mendapat laba yang lebih tinggi setiap bulan yang mencapai ribuan ringgit.

Apa alasan kita? Tiada orang yang hendak menguruskan dan mengusahakan tanah tersebut. Ada yang menyebutkan sekarang ini bukanlah zaman untuk bercucuk tanam tetapi zaman industri dan teknologi maklumat. Jika benar tiada orang yang hendak mengusahakan tanah tersebut, bagaimana boleh keluarnya statistik bahawa orang Melayu antara yang ramai menganggur tanpa pekerjaan? Yang akhirnya melukut ditepi gantang di bumi sendiri? Memang betul sekarang zaman industri dan teknologi maklumat. Namun, apakah yang kita makan? Adakah kita makan telefon bimbit? Komputer riba? Ipad? Tidak sama sekali. Yang menjadi makanan asasi kita adalah nasi, sayur-sayuran, buah-buahan.

Mungkin juga kita akan katakan bahawa sudah menjadi sikap orang Melayu begitu turun temurun; malas, lesu, suka kerja yang senang, tidak pandai mengurus. Persoalannya, betulkah begitu sikap orang Melayu? Jika betullah orang Melayu begitu, mustahil akan wujudnya Empayar Melaka yang diiktiraf antarabangsa. Mustahil akan wujudnya pelabuhan Kalah (Kedah) yang merupakan antara pelabuhan yang terawal dan terpenting berkurun lamanya. Sedarlah bahawa suatu masa dahulu kita adalah bangsa yang hebat dan kita bertambah hebat dengan kedatangan Islam.

Semua ini adalah hasil usaha penjajah yang memomokkan kita bahawa kita ini adalah satu bangsa yang tiada apa yang boleh dibanggakan. Hal ini kerana dahulunya, kita enggan tunduk dengan permintaan penjajah yang hanya menguntungkan diri mereka sahaja. Bukannya kita tidak mengetahui akan kehebatan dan kejayaan bangsa kita dahulu. Tetapi seperti yang saya katakan, semua kehebatan dan kejayaan itu disampaikan dalam keadaan seolah-olah ianya satu perkara yang mustahil untuk berulang kembali.

Lihatlah bagaimana anak-anak kecil bangsa Israel dimomokkan semenjak dari kecil lagi bahawa mereka adalah bangsa pilihan Tuhan, bangsa yang terbaik dan semua bangsa yang lain adalah diciptakan untuk menjadi hamba mereka dan semua momokkan ini disandarkan kepada sejarah bangsa mereka. Akhirnya, bagaimanakah hasil momokkan tersebut? Mereka membesar menjadi satu bangsa yang hebat. Merekalah cendekiawan, merekalah saintis tersohor, merekalah ushawan yang berjaya, merekalah segala-galanya.

Jadi apa yang dapat saya katakan bahawa kenyataan sejarah dan cara sejarah disampaikan sebenarnya cukup penting kepada sesuatu bangsa dalam mereka membina jati diri dan tamadun mereka. Mungkin tulisan saya kali ini agak berbeza, namun begitulah hakikatnya. Oleh kerana kurang peka akan sejarah bangsa sendiri, ramai orang Melayu yang malu untuk mengaku Melayu. Ramai orang Melayu yang gagal mempertahankan hak dan nasib mereka sendiri. Ramai yang mengulangi kesilapan lampau yang mana jika tidak dibaiki dari sekarang akan membawa kepada terjajahnya bangsa Melayu di bumi sendiri.

Bangsa Melayulah satu-satunya bangsa yang meletakkan Islam sebagai salah satu cirinya. Menunjukkan bahawa satu masa dahulu, betapa eratnya hubungan bangsa Melayu dengan agama Islam. Betapa akrabnya dan meleburnya bangsa Melayu dengan ajaran Islam. Bukanlah saya ingin mengagung-agungkan bangsa Melayu. Tetapi niat saya adalah untuk membuka mata dan minda orang Melayu untuk kembali kepada Islam. Mengingatkan kepada diri dan bangsa saya sendiri bahawa satu ketika dahulu kita hebat dengan Islam. Kedatangan Islam membawa 1001 sinar dan ‘Nur’ kepada bangsa Melayu. Jika betul bangsa Melayu ini tiada apa yang boleh dibanggakan, mengapa Empayar China sudi mengiktiraf Kerajaan Melayu Melaka? Antara faktor mengapa China sudi mengiktiraf bangsa Melayu kerana agama dan pegangan kita adalah Islam yang mana semenjak abad ke-9 Masihi lagi, orang Arab Islam telah menetap  di China dan memakmurkan ekonomi China. Menguasai jaringan laluan perdagangan antara Timur dan Barat,

*Semua yang saya nukilkan berdasarkan pembacaan, pengalaman dan perbincangan saya dengan beberapa individu. Saya tidak nafikan mungkin terdapat salah silap saya dan kekurangan saya. Tetapi, inilah yang saya fahami mengenai situasi semasa bangsa Melayu secara amnya. Antara faktornya, kita kurang menghayati sejarah perjalanan bangsa kita. Kita terlalu asyik denga sejarah orang lain sehingga kita rasa rendah diri dan tidak punya apa-apa. Terlupa dengan sejarah kita sendiri. Sedangkan kita punya satu sejarah yang hebat. Sejarah yang membuktikan dengan jelas bahawa dengan Islam, kita tercatat antara bangsa yang hebat yang setanding dengan bangsa-bangsa lain. Kunci kejayaan dan kekuatan kita adalah ISLAM dan PERPADUAN.

Posted by: Hazizie Sulkafle | Mac 19, 2012

Studi Ilmu-ilmu Quran (مباحث في علوم القرأن)

 

Penulis : Manna Khalil al-Qattan

Penterjemah : Drs. Mudzakir AS

Penerbit : PT. Pustaka Litera AntarNusa,Jakarta

Untuk kategori ‘Karya Pilihan’ kali ini, saya tertarik untuk memperkenalkan buku mengenai ilmu-ilmu ataupun bidang-bidang yang berkaitan dengan Al-Quran iaitu ‘Mabahith fil Ulumil’ Quran karya Manna Khalil al-Qattan, seorang ulama terkenal merangkap staf di Universiti Islam Imam Muhammad bin Saud,Riyadh,Arab Saudi.

Kali pertama saya diperkenalkan dengan buku ini adalah pada tahun 2010 oleh pensyarah subjek “Sciences of Quran” saya iaitu Dr.Norbani Ismail yang mana mengatakan bahawa buku ini merupakan antara rujukan yang bagus untuk subjek tersebut. Malahan, buku ini juga dimasukkan dalam senarai rujukan bagi subjektersebut. Walaubagaimanapun, buku ini hanya berjaya saya temui pada tahun 2011 dan baru sempat saya baca baru-baru ini.

Apa yang menarik bagi saya mengenai buku ini adalah isi kandungannya yang ringkas dan mudah untuk difahami. Sudah menjadi hasrat penulis bahawa tujuan beliau menulis buku ini adalah khusus untuk orang awam yang berminat mengenai ilmu-ilmu berkaitan al-Quran tetapi tidak berkesempatan untuk mengikuti kuliah atau kelas pengajian secara khusus. Jadi, boleh saya katakan buku ini sebagai  mukaddimah kepada “Sciences of Quran”.

Setakat yang telah saya baca, memang betul isi kandungan buku ini ringkas dan mudah difahami. Contoh dan penerangan yang diberikan tidaklah terlalu berat dan ilmiah sehingga menyukarkan atau memberatkan pembaca terutama yang tiada latar belakang ilmu berkaitan al-Quran. Sebab itulah saya berani mengetengahkan buku ini dan mengesyorkan kepada sesiapa yang berminat mengenai “Sciences of Quran’ tetapi tidak berkesempatan untuk mempelajari bidang ini secara khusus untuk membaca buku ini sebagai permulaan dalam memahami rangka “Sciences of Quran”.

Satu ciri yang menarik bagi buku ini adalah penulis juga turut menyelitkan manfaat-manfaat dan faedah-faedah ataupun kepentingan mengetahui ilimu-ilmu al-Quran seperti Asbabun Nuzul dan ayat Makki dan Madani. Buku setebal 544 halaman ini terbahagi kepada 27 bab:

  1. Ilmu-Ilmu Qur’an
  2. Al-Qur’an
  3. Wahyu
  4. Makki dan Madani
  5. Pengetahuan Mengenai yang Turun Pertama dan Terakhir
  6. Asbabun Nuzul
  7. Turunnya Qur’an
  8. Pengumpulan dan Penerbitan Qur’an
  9. Turunnya Qur’an dengan Tujuh Huruf
  10. Qiraat Qur’an dan Para Ahlinya
  11. Kaidah-Kaidah yang Diperlukan Para Mufasir
  12. Perbedaan Muhkam dengan Mutasyabih
  13. ‘Amm dan Khass
  14. Nasikh dan Mansukh
  15. Mutlaq dan Muqayyad
  16. Mantuq dan Mafhum
  17. Kemukjizatan Qur’an
  18. Amsalul Qur’an
  19. Qasam-Qasam Qur’an
  20. Jadal (Debat) Dalam Qur’an
  21. Kisah-Kisah Qur’an
  22. Terjemah Qur’an
  23. Tafsir dan Ta’wil
  24. Syarat-Syarat dan Adab Bagi Mufasir
  25. Pertumbuhan dan Perkembangan Tafsir
  26. Kitab-Kitab Tafsir Terkenal
  27. Riwayat Hidup Beberapa Mufasir

Akhir kata, ingin saya nyatakan bahawa disebabkan buku ini asalnya adalah berbahasa Arab dan mengenai al-Quran, maka isi perbincangannya tidak terlepas daripada perbincangan yang berkaitan dengan aspek tatabahasa bahasa Arab. Oleh itu, pembaca yang mempunyai asas bahasa Arab lebih mudah untuk memahami isi prbincangan dalam buku ini. Namun bagi yang tidak mempunyai asas bahasa Arab, anda tidak perlu risau atau patah hati untuk membaca buku ini kerana aspek yang dibincangkan tidaklah terlalu berat dan sukar sehingga anda tidak memahami langsung apa yang penulis ingin bincangkan.

Saya juga ingin tegaskan bahawa buku ini bukanlah rujukan muktamad untuk ilmu-ilmu al-Quran yang mana setelah anda selesai membaca buku ini, anda sudah betul-betul memahami ilmu-ilmu al-Quran atau boleh dikatakan sebagai pakar atau bertauliah dalam ilmu-ilmu al-Quran. Seperti yang saya katakan, buku ini adalah sebagai mukaddimah kepada kita dalam memahami dan melihat rangka dan aspek yang dibincangkan dalam ilmu-ilmu Al-Quran ataupun “Sciences of Quran”.

Al-Quran adalah petunjuk dan rujukan kita,umat Islam. Rujukan yang agung dan suci dari segala kesilapan mahupun campur tangan manusia. Wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada junjungan kita Muhammad s.a.w sebagai panduan dan rujukan kita. Oleh itu, adalah menjadi satu keharusan bagi kita untuk cuba memahami dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai al-Quran. Insya Allah dengan usaha ini dapat meningkatkan keimanan kita dan keyakinan serta pemahaman kita terhadap Quran ke arah menjadi Muslim yang sejati. Wallahu’alam.

Posted by: Hazizie Sulkafle | Februari 29, 2012

من روائع حضارتنا – Karya yang perlu dihayati semua

من روائع حضارتنا adalah sebuah risalah atau buku karya Prof.Dr.Mustafa Husni as-Sibaa’ie yang dikarang sekitar tahun 1960. Diterjemah dengan tajuk “Civilization of Faith:A Journey through Islamic History”(terbitan International Islamic Publishing House;IIPH)  ataupun “Some Glittering Aspects of the Islamic Civilization”.

Saya baru sahaja selesai membacanya dua hari yang lepas dan saya mendapati buku ini sungguh menarik dan membuka minda individu yang membacanya. Pada mulanya saya memandang mudah buku ini dek kerana halamannya yang nipis;iaitu dalam lingkungan 260 mukasurat. Faktor awal yang menarik saya untuk membelinya adalah buku ini berkaitan dengan sejarah dan tamadun dan yang lebih penting ditulis oleh seorang tokoh yang cukup hebat iaitu dr.Mustafa as-Sibaa’ie.

Seperti yang saya katakan, buku ini setelah dibaca,diteliti dan dihayati isi kandungannya, apa yang cuba disampaikan sebenarnya cukup menarik dan penuh dengan hikmah. Betullah kata pepatah Inggeris; ‘Don’t judge a book by its cover’. Walaupun gaya bahasanya mudah dan cara pnyampaiannya cukup santai dan bersahaja,tetapi dr.Mustafa as-Sibaa’ie bukan sahaja mampu bahkan berjaya menyampaikan apa yang ingin beliau sampaikan. Bahkan,apa yang ingin disampaikan cukup mudah difahami oleh pembaca.

Terbahagi kepada 13 bab yang ringkas (tiada masalah bagi individu yang kurang gemar membaca), buku ini mampu membuka minda pembaca akan kehebatan tamadun yang telah dibangunkan berasaskan ajaran Islam yang mana tamadun tersebut tiada tolok bandingnya dengan mana-mana tamadun yang pernah wujud dalam sejarah. Bab-bab dalam buku ini adalah:

1)      The Unique Characteristics of Our Civilization

2)      The Impact of Our Civilization

3)      Our Humane Tendency

4)      Racial Equality

5)      Religious Tolerance

6)      Our Etiquette in War

7)      Kindness to Animals

8)      Charitable Institutions

9)      Schools and Educational Institutions

10)   Hospitals and Medical Institutions

11)   Private and Public Libraries

12)   Academic Gatherings and Conferences

13)   Capitals and Major Cities

Antara isu yang menarik yang dibangkitkan dalam buku ini adalah isu hak haiwan yang disentuh dalam bab ke-7. Dr.Mustafa menyatakan bahawa Islam mengajar umatnya agar berlaku ihsan dan menyayangi haiwan. Islam juga menyatakan bahawa haiwan tidak mempunyai tanggungjawab seperti manusia dan tidak boleh dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka kerana haiwan tidak dikurniakan akal untuk berfikir. Berbanding dengan masyarakat Barat ketika itu (sekitar abad ke-10 hingga abad ke14), haiwan bukan dihukum atas kesalahan mereka bahkan haiwan juga dibicarakan di mahkamah seperti mana manusia. Bukankah perkara ini satu yang agak lucu dan tidak pernah kita fikirkan akan berlaku?

Isu lain yang menarik juga adalah perbandingan mengenai keadaan bandar dan istana dalam tamadun Islam dan Barat ketika itu yang dibincangkan dalam bab ke-13.  Juga keadaan kesihatan masyarakat dan ilmu perubatan masyarakat Barat dan Islam yang diutarakan dalam bab ke-10. Kedu-dua bab ini membuatkan kita terfikir betapa hebatnya tamadun yang dibina di atas landasan ajaran dan prinsip-prinsip Islam. Alangkah hebatnya dan amannya dunia ini seandainya keadaan-keadaan yang disebutkan di dalam buku ini dapat diulang semula oleh umat Islam.

Secara tidak langsung, buku ini sebenarnya membuktikan betapa pentingnya sejarah dalam kehidupan manusia dalam mengingatkan kita akan kemegahan dan kehebatan yang pernah di capai oleh sesuatu umat terutamanya umat Islam dan apa yang dapat kita pelajari dan cuba dicapai semula. Buku ini juga mengajak kita agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya yang mana mampu membina satu tamadun yang cukup hebat. Buku ini mampu mengembalikan keyakinan kita akan betapa syumulnya dan hebatnya ajaran Islam,mengembalikan rasa bangga dan yakin kita akan ajaran Islam,membakar motivasi kita untuk berjaya dalam segenap aspek kehidupan. Bahawa Islamlah yang paling tinggi dan agung,tiada lain yang dapat mengatasinya.

 

Posted by: Hazizie Sulkafle | Januari 13, 2012

Sejarah – Satu Mentaliti yang Perlu Diubah (Siri 1)

Untuk siri artikel kali ini saya ingin membincangkan beberapa perkara dan persoalan mengenai sejarah yang berobjektif untuk mengubah mentaliti kita dalam memahami dan memandang sejarah. Bagi generasi sekarang, ramai yang menganggap sejarah adalah satu subjek yang membosankan, sekadar menghafal tarikh dan fakta, tidak mencabar,tidak relevan dan tidak menjamin masa hadapan terutama dari segi peluang pekerjaan. Pendek kata, bila sebut sahaja perkataan sejarah, yang terlintas difikiran hanyalah persepsi-persepsi yang negatif. Artikel kali ini akan memfokuskan satu topik iaitu:

Apa itu sejarah?

Yang dapat saya katakan, sejarah bukanlah satu bidang yang hanya setakat menghafal tarikh dan fakta. Bahkan subjek sejarah lebih luas dan mencabar daripada itu, Sepanjang setahun setengah menceburi bidang sejarah, saya dapat simpulkan bahawa selain daripada apa yang berlaku dan bila peristiwa tersebut berlaku, bidang sejarah juga membawa kita kepada beberapa persoalan:

1)      Kenapa@bagaimana peristiwaa tersebut boleh berlaku?

2)      Apakah kesan (jangka masa pendek@jangka masa panjang/negative@positif) peristiwa tersebut?

3)      Adakah peristiwa tersebut menyebabkan berlakunya peristiwa lain?

4)      Adakah peristiwa persebut mempunyai kaitan dengan peristiwa yang berlaku sebelumnya?

5)      Adakah peristiwa tersebut pernah berlaku? Jika ya, kenapa boleh berulang lagi?

6)      Adakah peristiwa tersebut akan@berpotensi untuk berlaku lagi?

7)      Bolehkah peristiwa tersebut dielakkan daripada berulang lagi?

8)      Apakah pengajaran daripada peristiwa tersebut?

Jadi, sejarah juga menuntut kita untuk berfikir secara kreatif,kritis dan objektif dalam menganalisa sejarah. Bahkan salah satu cabang dalam sejarah adalah ‘Futurology’; bidang yang mana mengkaji kemungkinan tentang apa yang akan terjadi berdasarkan apa yang telah berlaku.  Sejarah juga memerlukan analisis dan pemahaman akan sesuatu peristiwa yang berlaku yang membolehkan kita mengetahui sebab dan kesan peristiwa tersebut terhadap sesuatu kelompok masyrakat.

Berdasarkan persoalan-persoalan di atas, maka sejarah bukanlah satu subjek yang statik dan membosankan. Sejarah bukan sahaja membincangkan apa yang berlaku dan bila, bahkan sejarah juga membincangkan sebab,akibat dan pengajaran daripada apa yang telah berlaku. Pada semester ini(semester 1,2011/2012) saya mengambil subjek ‘China and Japan since 1800CE’. Dalam subjek ini, yang banyak dibincangkan adalah sebab dan kesan apa yang berlaku. Apabila berbicara mengenai Perang Candu (Opium War, 1840-1842) antara China dan Britain, dibincangkan juga sebab kenapa perang boleh berlaku dan kesannya terhadap China, luaran dan dalaman (external & internal) dan kesannya terhadap mentaliti rakyat China ketika itu.

Ketika menyentuh sejarah pengasasan Madinah al-Munawwarah oleh Rasulullah s.a.w setelah hijrah baginda, perkara yang dibincangkan bukan sahaja bila diasaskan, bahkan dibincangkan juga apakah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., polisi-polisi yang dilaksanakan oleh baginda dalam mengukuhkan Madinah dan kenapa polisi-polisi tersebut yang dilaksanakan, peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum pengasasan Madinah, kenapa Rasulullah s.a.w. memilih Madinah, bukannya Thaif, Yaman, atau Palestin, apakah kesannya penubuhan Madinah terhadap umat Islam dan perkembangan dakwah Islam selepas itu. Juga apakah pengajaran yang boleh kita ambil dan polisi-polisi/fiqh-fiqh yang boleh dicontohi dan dilaksanakan pada masa sekarang dalam kerangka hubungan kita dengan yang bukan Islam dan membentuk negara berlandaskan syariat. Jadi, bolehkah dikatakan bahawa sejarah adalah satu bidang yang tidak relevan lagi dan hanya menghafal tarikh dan fakta?

Selain itu, sejarah juga membincangkan corak pemikiran dan budaya/keadaan sesuatu masayarakat itu. Dua perkara inilah yang banyak mempengaruhi perjalanan sejarah dan pembentukan sejarah. Dengan memahami dua perkara ini, kita akan faham kenapa sesuatu peristiwa itu boleh berlaku. Sebagai contoh, dengan memahami corak pemikiran dan budaya/keadaan masyarakat Islam ketika zaman Saidina Ali r.a dan Muawiyah r.a selepas pembunuhan Saidina Uthman r.a., kita akan memahami kenapa dan bagaimana boleh berlakunya Perang Jamal, Perang Siffin, Majlis Tahkim dan terbentuknya mazhab Syiah dan kelompok Khawarij.

Sejarah juga adalah satu bidang yang memerlukan objektiviti yang cukup tinggi. Adalah satu kesalahan bagi seseorang sejarawan itu jika beliau berat sebelah dan kredibiliti beliau sebagai sejarawan boleh diragui. Sikap berat sebelah akan menyebabkan berlakunya ketidak tepatan dan berlebihan dalam merekod fakta sejarah. Perkara ini akan menyebabkan berlakunya perselisihan fakta sejarah dan mengelirukan pembaca dan pengkaji sejarah. Perkara inilah antara sebab mengapa masyarakat tidak meminati sejarah dan menganggap sejarah sebagai satu bidang yang leceh, boleh diambil mudah dan tidak relevan.

Jadi, apa yang dapat saya katakan adalah sejarah bukanlah satu bidang yang sekadar menghafal tarikh dan fakta. Mungkin cara penyampaian sejarah terutama di sekolah menyebabkan terbentuknya pemikiran ini. Bukan hendak menyalahkan pihak tertentu tetapi di sekolah, secara amnya pelajar hanya ditekankan untuk menghafal fakta dan tarikh dalam buku-buku teks tanpa mengajak pelajar untuk berfikir, memahami dan meneliti apa yang berlaku. Adalah satu ayat yang biasa kita dengar “Baca dan hafal je ape yang ada dalam buku teks, confirm A” apabila berbicara tentang sejarah dan perkara ini juga mendorong kepada pembentukan mentaliti di atas. Berbeza apabila saya berada di pusat pengajian tinggi, pensyarah-pensyarah mengalakkan kami memberi analisis sendiri terhadap apa yang berlaku dalam menyiapkan kajian dan menjawab peperiksaan yang mana menuntut kami untuk berfikir secara kreatif dan kritis.

Jadi, saya harapkan kita mampu mengubah mentaliti kita terhadap sejarah dan sedar bahawa sejarah bukan sahaja mengenai fakta dan tarikh. Fahami, teliti dan hayatilah sejarah, maka kita dapat merasai makna sejarah itu dan betapa besar dan luasnya ruang lingkup sejarah. Dengan meneliti sejarah, kita juga mempelajari keadaan politik, pemikiran dan budaya hidup, worldview dan jati diri sesuatu masyarakat itu. Kegemilangan dan jati diri sesuatu bangsa itu dipengaruhi sejauh mana mereka memahami dan menghayati sejarah bangsa mereka.

Posted by: Hazizie Sulkafle | Disember 13, 2011

Kitaran Sesebuah Kerajaan Menurut Pandangan Ibn Khaldun

Sejarah, Tamadun dan Kerajaan adalah tiga aspek yang berbeza namun ketiga-tiga aspek ini bukan sahaja tidak dapat dipisahkan bahkan saling melengkapi antara satu sama lain. Kenapa saya mengatakan begitu? Jawapanya cukup mudah dan tersurat, tanpa memerlukan penelitian yang panjang dan mendalam. Apabila kita membaca sejarah, secara tidak langsung kita akan melalui tamadun dan dalam setiap tamadun akan wujudnya kerajaan.

Kita ambil sejarah Islam sebagai contoh. Apabila kita membaca sejarah Islam, bermakna kita juga membaca tamadun Islam. Dalam masa yang sama juga kita akan bertemu dengan pelbagai kerajaan yang wujud dalam sejarah dan tamadun Islam seperti era Khulafa Rasyidin, Dinasti Umayyah, Dinasti Abbasiyyah, Dinasti Turki Uthmaniyyah dan Dinasti Moghul di India.

Dalam sejarah, wujudnya tamadun dan sesuatu kerajaan tidak akan dapat berdiri tanpa tamadun. Sejarah boleh berdiri sendiri tanpa tamadun dan kerajaan,namun tidak lengkaplah perjalanan sejarah itu. Tetapi, tamadun dan kerajaan memerlukan sejarah untuk berdiri. Jika kita ingin membincangkan ketiga-tiga unsur ini, perbincangan nya cukup panjang dan atas sebab itu, dalam artikel kali ini saya ingin memfokuskan kepada ‘Kerajaan’.

Menurut pandangan Ibn Khaldun, perkembangan kerajaan mempunyai 5 tahap. Dalam fasa yang pertama, sesebuah kaum yang bersandarkan semangat Assabiyyah yang tinggi dan kuat akan mula bergerak untuk membentuk sebuah identiti politik. Dalam kerangka membentuk identiti politik atau kerajaan, mereka akan menentang dan menyerang kerajaan yang sedia ada dan menggantikannya. Penguasa yang baru akan mendapatkan hak kedaulatan daripada dinasti sebelumnya.

Peristiwa ini begitu lazim dalam lipatan sejarah. Dinasti Abbasiyyah bermula dengan penentangan terhadap pemerintahan Dinasti Umayyah yang mula melemah dan penuh dengan kelalaian dan salah guna kuasa. Atas dasar ini mereka meraih sokongan orang awam dan bangkit menjatuhkan Dinasti Umayyah. Setelah itu, Dinasti Abbasiyyah mengumumkan diri mereka sebagai penyambung Dinasti Umayyah.

Dalam fasa ini, perasaan kekitaan atau affiliation begitu kuat dalam kalangan pendiri kerajaan tersebut. Mereka disokong oleh keluarga atau kaum mereka. Tulang belakang kejayaan mereka adalah kaum kerabat mereka. Oleh sebab itu, dalam fasa ini kaum kerabat cukup diutamakan dan dilayan dengan begitu baik. Mereka juga cukup baik dengan rakyat untuk mengambil hati mereka dan meraih sokongan. Juga untuk menunjukkan bahawa mereka lebih baik berbanding kerajaan yang sebelumnya dan tujuan kedatangan mereka adalah untuk menjaga hak-hak rakyat.

Kemudian masuk fasa kedua bagi sebuah kerajaan. Perluasan kuasa,pengaruh dan wilayah bermula dengan giat ketika ini. Oleh sebab itu, fasa ni dikenali sebagai fasa perluasan dan pengukuhan kerajaan.Dalam fasa ini, pemerintah ataupun raja akan berusaha untuk megukuhkan kekuasan yang ada. Selain daripada perluasan kuasa dan pengaruh ke wilayah lain, raja juga akan memastikan kekuasaan kekal berada dalam keluarganya sahaja; yakni kekuasaan adalah warisan mutlak keluarganya.

Ketka ini,raja akan menolak penguasaan dan pengaruh kaum kerabatnya dengan sedikit demi sedikit menafikan hak dan penglibatan mereka dalam pentadbiran. Raja bahkan lebih mempercayai orang luar dalam membantu dan menasihati urusan pentadbiran. Jika sekiranya fasa pertama mengutamakan kaum kerabat, fasa kedua mengutamakan orang luar. Hal ini didorong oleh perasaan inginkan kekuasaan kekal di tangan keluarganya dan mula timbul syak wasangka akan berlakunya perebutan kuasa oleh kerabatnya yang lain.

Kita dapat melihat situasi ini dalam perjalanan sejarah Dinasti Abbasiyyah yang mana sedikit demi sedikit orang bukan Arab mendapat tempat dalam pentadbiran. Secara tidak langsung, pengaruh Arab dalam pentadbiran semakin berkurang dan meningkatnya pengaruh luar. Menurut pendangan Ibn Khaldun lagi, fasa ini sebenarnya adalah permulaan kepada kejatuhan sesuatu kerajaan.

Fasa ketiga adalah fasa di mana kerajaan melalui zaman kemewahan dan kesenangan hasil usaha pemerintah sebelumnya. Pemerintah hanya tertumpu kepada menunjukkan kekuasaan dan kemewahan yang ada serta mengekalkan kekayaan kerajaan. Kutipan cukai semakin kerap sebagai sumber utama kewangan kerajaan. Bangunan-bangunan yang hebat dan melambangkan kemegahan giat dibina seperti masjid, istana dan kota.

Kehidupan rakyat juga semakin kompleks dan mewah. Hadiah-hadiah diberikan bukan sahaja kepada yang layak,bahkan kepada yang tidak berkelayakan. Kelengkapan ketenteraan semakin bertambah dan canggih. Semua ini bertujuan menundukkan kawan dan menggerunkan lawan serta sebagai lambang kekuasaan dan kemewahan kerajaan. Namun, malangnya fasa ini adalah fasa terakhir di mana raja berkuasa sepenuhnya ke atas rakyat.

Apa yang ada dijaga dengan sebaik mungkin dan dengan ketat. Amalan,tradisi dan norma yang sedia ada dipelihara dan dipastikan kelangsungannya. Sebarang pembaharuan atau perubahan bukan sahaja dikecam hebat bahkan dituduh akan merosakkan kemakmuran dan kemewahan yang dikecapi tanpa menyedari bahawa tanpa perubahan dan pembaharuan tersebut, kerajaan semakin lama semakin melemah dan mereput. Rakyat dan pemerintah menjadi begitu lemah dan manja. Cepat mengalah dan tidak tahan lasak. Apa yang diketahui adalah menikmati kesenangan yang ada seolah-olah semua itu akan kekal selama-lamanya. Tanpa mereka sedari, musuh dan bangsa lain hanya menuggu peluang untuk menyerang dan merampas kemewahan dan kekuasaan yang mereka ada. Inilah perkara yang terjadi dalam fasa keempat; fasa   kelalaian dan berpuas hati dengan apa yang ada.

Akhirnya, kerajaan tersebut jatuh setelah penguasanya hanya berfoya-foya saban hari dan melakukan pembaziran. Rakyat dipandang sebagai sumber kekayaan semata-mata dan menjadi kewajipan bagi rakyat untuk memenuhi nafsu dan selera pemerintah. Keadaan dan kebajikan rakyat tidak dipedulikan. Tanpa disedari, rakyat mula mengumpulkan kekuatan untuk menggulingkan pemerintah dan menubuhkan pemerintahan yang baru. Ataupun pihak luar mula mengatur langkah untuk mengambil alih kekuasaan seperti mana yang terjadi ke atas Dinasti Abbasiyyah pada 1258 akibat diserang oleh tentera Mongol. Inilah dia fasa terakhir, fasa kejatuhan dan kehancuran bagi sesebuah kerajaan.

Dua fasa terakhir dapat dilihat dengan jelas dalam setiap kerajaan yang telah jatuh. Kelima-lima fasa ini akan berulang dan terus berulang. Adakah fasa-fasa ini tidak dapat diubah dan akan terus berlaku? Sebenarnya itulah kenyataannya. Sejarah akan terus berulang dan berulang dengan sendirinya. Walaupun kita peka akan keadaan ini, kita masih tidak dapat mengelaknya. Perkara yang dapat kita lakukan hanyalah memanjangkan hayat sesuatu kerajaan.

Memastikan kelangsungan sesuatu kerajaan umpama satu larian yang berterusan. Sampai satu masa, pelari tersebut pasti akan penat dan berhenti. Perkara yang berbeza hanyalah berapa lama pelari tersebut mampu meneruskan lariannya. Sejauh mana ketahanan pelari tersebut. Begitu juga dengan kerajaan dan apa yang kita mampu lakukan. Selama mana mana kita dapat melatih dan mengekalkan ketahanan stamina kita dalam meneruskan larian.

Bangsa Arab telah berlari selama 647 tahun (611-1258) membawa panji-panji kegemilangan pemerintahan Islam. Larian tersebut disambung pula oleh bangsa Turki untuk 635 tahun seterusnya (1289-1924) hinggalah saat kejatuhan Daulah Turki Uhtmaniyyah. Buat masa sekarang, larian tersebut telah terhenti. Maka, persoalannya, bangsa mana pulakah selepas ini yang akan menyambung larian sebelum ini? Larian mengibarkan panji-panji kegemilangan pemerintahan berdasarkan Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. ke seluruh alam.

Sejarah akan terus berjalan, tamadun akan terus berkembang, manakala kerajaan pula akan bersilih ganti. Semuanya akan berjalan mengikut Sunnatullah.

Posted by: Hazizie Sulkafle | Oktober 31, 2011

Zaman “Renaissance” di Kepulauan Melayu(Penerangan secara ringkas)

(Artikel ini ditulis pada Julai 2011 dan tujuan saya menerbitkan semula artikel ini adalah untuk mendapat komen dan cadangan daripada para pembaca dalam kerangka saya ingin menulis artikel yang lebih lengkap dan ilmiah)

Teori ni saya dapat dan ambil berdasarkan pemahaman saya terhadap hasil kajian Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam ucapannya yang dibukukan bertajuk “Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu”. Di permulaan,beliau menyatakan bahawa adalah satu perkara yang kurang tepat sekiranya kita terlalu mengaitkan dan membandingkan sejarah dan kebudayaan Melayu dengan sejarah dan kebudayaan India ataupun Hindu-Buddha.Bahkan keadaan Kepulauan Melayu (KM) sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan tamadun Eropah yang didominasi oleh Empayar Rom.

Selanjutnya beliau menambah bahawa sesungguhnya tamadun India dan Hindu-Buddha tidak berjaya mengakar umbi dalam kehidupan penduduk Kepualuan Melayu dengan kuat,jika berjaya pun,hanya di beberapa tempat sahaja seperti Bali.Secara amnya,penduduk Kepulauan Melayu tidak terlalu terpengaruh dengan kebudayaan Hindu-Buddha kecuali dalam beberapa aspek kebudayaan dan cara hidup. Namun dari segi falsafah, ‘worldview’ dan aktiviti ilmiah,penduduk Kepulauan Melayu tidak terpengaruh dengan falsafah dan pemikiran Hindu-Buddha yg mana perkara ini hanya terjadi dalam kalangan golongan diraja dan bangsawan sahaja.

Selanjutnya,beliau mengatakan bahawa pengaruh Hindu-Buddha hanya kuat dalam kalangan golongan istana sahaja.Aktiviti ilmiah juga hanya berlaku dalam istana sahaja tanpa disebarkan kpd rakyat. Secara kesimpulannya,beliau menolak hujah-hujah dan teori-teori sarjana Barat yg mengatakan bahawa tamadun dan kebudayaan Hindu-Buddha membawa pengaruh yg cukup besar dalam kehidupan penduduk Kepulauan Melayu.Namun,beliau juga menegaskan bahawa beliau tidak menolak pengaruh Hindu-Buddha di Kepulauan Melayu tapi pengaruhnya tidaklah sehebat dan sepenting sebagaimana yg diuar-uarkan jika dibanding dengan pengaruh yg dibawa oleh Islam.

Berbanding dengan Islam,kedatangannya ke Kepulauan Melayu (KM) pada abad ke 12 (bahkan mungkin lebih awal) telah membuka mata penduduk KM dan membawa ‘Nur’ dalam peradaban dan budaya penduduk KM. Buktinya boleh dilihat dari aspek bahasa sendiri yg mana pengaruh istilah-istilah dan perkataan-perkataan Arab-Islam dalam bahasa Melayu lebih besar berbanding pengaruh Hindu-Buddha. Dengan kedatangan Islam juga,munculnya karya-karya saduran seperti Hikayat Amir Hamzah, Muhammad Hanafiah dan karya-karya terjemahan ulama-ulama Islam dari Timur Tengah oleh ulama tempatan. Ketika zaman Hindu-Buddha,aktiviti seperti ini berlaku tetapi seperti yg dinyatakan di atas, hanya terhad dalam kalangan golongan istana sahaja berbanding zaman Islam yang mana semua ini disebarkan kpd rakyat.

Dengan kedatangan Islam juga,aktiviti perdagangan dan diplomatik kerajaan-kerajaan di KM semakin meluas berbanding zaman Hindu-Buddha. Hal ini disebabkan kegiatan pedagang-pedagang Islam dari Timur Tengah yang giat berdagang ke serata dunia sehingga sampai ke pelabuhan-perlabuhan di KM seperti Melaka,Johor dan Aceh terkenal sebagai pelabuhan antarabangsa di mata dunia. Aktiviti-aktiviti ilmiah juga bertambah giat dengan adanya penduduk KM yg melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah dan menjadi tokoh di KM setelah pulang seperti Hamzah Fansuri,Nuruddin al Raniri dan Abdul Rauf al-Singkili. Pengaruh mereka bukan setakat dalam kalangan golongan bangsawan sahaja bahkan berakar umbi dan tersebar dalam kalangan rakyat biasa.

Namun begitu,timbul persoalan mengapa zaman “Renaissance” di KM tidak sehebat Renaissance di Eropah dari segi kesannya? Jawapan bagi persoalan ini mungkin dapat dijawab dengan terjadinya penjajahan kuasa-kuasa Eropah di KM seawal abad ke 16 yg telah membantutkan “Renaissance” di KM. Dalam masa yang sama pengaruh Islam yg diterima di KM adalah arus Islam yg telah mula melemah(jika kita lihat,abad ke 12 adalah tempoh masa di mana Khalifah Abbasiyyah di Baghdad telah mula jatuh,menunjukkan tanda-tanda kelemahan dan umat Islam telah mula leka) dan tidak berlakunya perhubungan langsung antara KM dengan tamadun Islam(Islam di KM datang melalui perdagangan,bukannya dengan pembukaan). Jarak yg jauh juga antara faktor yg menyumbang kerana berbanding dengan Eropah yg cukup hampir dengan tamadun Andalusia, kita terlalu jauh dengan pusat perkembangan Islam.

Kesimpulannya,kedatangan Islam sesungguhnya membawa kesan yg cukup besar dalam peradaban dan kebudayaan KM.Walaupun pengaruh Islam menladi perlahan setelah kedatangan kuasa Eropah, Islam tetap secara selangkah demi selangkah menjadi pemangkin kepada kelangsungan hidup penduduk KM dan berlakunya kebanyakan peristiwa yang penting dalam sejarah KM.

‘Ala kulli hal ini sekadar pandangan serta analisis perkembangan sejarah dan kebudayaan KM yg diwarnai pelbagai unsur tamadun lain seperti tamadun Hindu-Buddha,tamadun China dan tamadun Islam itu sendiri dan terbuka kepada sebarang komentar. Namun begitu,ingin ditegaskan sekali lagi bahawa kedatangan Islam telah membawa kesan yang besar kepada tamadun dan kebudayaan KM yg mana fakta ini cuba dinafikan oleh sesetengah sejarawan terutama dari Barat.Wallahualam.

Posted by: Hazizie Sulkafle | Oktober 30, 2011

Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Islam Melaka

Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Islam Melaka

Slot Pembentangan Ust Muhammad Fauzi Asmuni dalam Kuliah Sirah UIAM pada 29 Oktober 2011 baru-baru ini.

Posted by: Hazizie Sulkafle | Ogos 25, 2011

Mazhab-Mazhab Fiqh dalam Islam

Pendahuluan

Mazhab secara bahasanya bermaksub jalan,arah atau panduan untuk diikuti.Berakar daripada perkataan ‘Dhahaba’ ذهب  yang bermaksud ‘pergi’. Dari segi istilah pula,mazhab merujuk kepada kumpulan pendapat seseorang ulama/ahli fekah.

Dalam Islam,mazhab telah menyumbang kepada wujudnya kemudahan dan panduan bagi umat Islam dalam menghadapi kehidupan sehari-harian,sama ada dari segi urusan jual beli,ibadah mahupun hubungan sesama masyarakat.

Sepanjang sejarah Islam,terdapat kira-kira 10 mazhab fiqh telah wujud dan diamalkan oleh umat Islam.Namun begitu,akibat peredaran masa dan perubahan zaman yang berlaku,hanya 4 mazhab utama sahaja yang masih wujud dan diamalkan oleh umat Islam iaitu mazhab Hanafi,Maliki,shafi’e dan Hanbali.Maka,dalam esei yang pendek ini,akan diterangkan secara ringkas sejarah dan perkembangan kesemua 10 mazhab yang ada,6 yang tidak diamalkan lagi dan 4 yang masih diamalkan sebagai tatapan dan pengetahuan kita semua.

1) Mazhab Hanafi

Diasaskan oleh Imam Abu Hanifah (703-767M) yang berasal dari Kufah,Iraq. Berketurunan Parsi,yang mana ayah beliau telah memeluk Islam pada zaman Khulafa Ar-Rashidin. Guru utama beliau adalah Hammad bin Zayd yang merupakan antara ulama hadith yang hebat pada ketika itu. Belajar selama 18 tahun dengan Hammad bin Zayd,sebelum beliau meninggal pada 742 M dan Imam Abu Hanifah telah mengambil alih tugas guru beliau untuk mengajar.Ketika itu,Imam Abu Hanifah berumur 40 tahun dan dikenali sebagai salah seorang ulama yang terkemuka di Kufah.

Ditawarkan jawatan dalam pentadbiran sebagai Kadi ketika era Daulah Umayyah(ketika Yazid bin Umar menjadi Gabenor Kufah) dan Daulah Abbasiyyah(Khalifah Abu Ja’far al-Mansoor) namun menolah jawatan tersebut yang telah menyebabkan beliau dipenjarakan sehingga beliau meninggal dunia.Tergolong dalam kelompok Tabi’n kerana sempat bertemu dan meriwayatkan hadith daripada beberapa orang Sahabat.

Tergolong dalam Ahl Ar-Ra’i,mazhab Hanafi dikembangkan oleh pengikut-pengikut beliau berbanding oleh beliau sendiri. Sumber hokum yang digunakan oleh Imam Hanafi dan pelajar-pelajar beliau adalah :

  1. Al-Quran
  2. Sunnah
  3. Ijma’ para Sahabat
  4. Pendapat/ijtihad peribadi para Sahabat
  5. Qiyas (analogi/perbandingan)
  6. Istihsan (yang lebih bermanfaat)
  7. Urf (adat masyarakat tempatan)

Antara pelajar utama beliau ataupun tokoh-tokoh utama dalam mazhab Hanafi ialah Zufar ibn Al-Hudhayl (732-774M), Abu Yusuf Ya’kub ibn Ibrahim (735-795M) dan Muhammad ibn Al-Hasan Ash-Shaybanee (749-805M).

Sekarang ini,mazhab Hanafi diamalkan oleh kebanyakan umat Islam di India, Afghanistan, Pakistan, Iraq, Syria, Turki, Guyana, Trinidad, Surinam dan Mesir. Malahan,Daulah Turki Uthmaniyyah telah menjadikan mazhab Hanafi sebagai mazhab rasmi daulah tersebut ketika menjelang penghujung abad ke 19.

2) Mazhab Awzaa’ee

                Berdasarkan ajaran ulama Syria,Abdur-Rahman ibn Al-Awzaa’ee yang lahir di Ba’labek pada 708M dan meninggal pada 774M. Terkenal sebagai ulama hadith yang hebat di abad ke-8M dan menolak penggunaan Qiyas secara keterlaluan dan lebih mengutamakan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Menetap di Beirut,Lubnan dan meninggal di sana. Mazhab beliau banyak diamalkan di Syria, Jordan, Palestin,Lubnan dan Andalus(Sepanyol)

Mendominasi Syria sebagai mazhab utama sehingga abad ke-10M,namun hilang pengaruhnya apabila Abu Zar’ah Muhammad ibn Uthman daripada mazhab Shafi’ie menjadi Qadi di Damsyik. Hal ini kerana Abu Zar’ah menggalakkan pelajar di sana mempelajari mazhab Shafi’ie dengan menghadiahkan 100 dinar kepada pelajar yang berjaya menghafal kitab Mukhtasar Al-Muzanee,kitab asas mazhab Shafi’ie. Secara tidak langsung,pengikut mazhab Awzaa’ee semakin berkurang sehinggakan menjelang abad ke-11M,tiada lagi yang mengamalkan mazhab Awzaa’ee lagi. Walaubagaimanapun, amzhab Awzaa’ee tetap diiktiraf dalam bidang Fiqh dan banyak dibincangkan dalam buku-buku perbandingan Fiqh.

3) Mazhab Maliki

Diasaskan oleh Imam Malik ibn Anas ibn Aamir,lahir di Madinah pada tahun 717M dan meninggal pada 801M. Merupakan cucu salah seorang Sahabat di Madinah iaitu Aamir. Memepelajari hadith daripada Imam Az-Zuhri,seorang muhaddithin yang hebat pada zamannya. Seorang periwayat hadith yang terkenal, Naafi iaitu hamba Abdullah ibn Umar yang telah dibebaskan juga merupakan salah seorang guru Imam Malik. Menetap di Madinah sepanjang hayatnya,hanya keluar untuk menunaikan haji.Menghadapi fitnah pada tahun 764M di mana beliau diseksa atas arahan Amir(Gabenor) Madinah kerana beliau telah mengeluarkan fatwa  bahawa cerai secara paksa adalah haram. Fatwa  ini bertentangan dengan amalan pemerintah Daulah Abbasiyyah iaitu individu yang melanggar sumpah taat setia kepada pemerintah dikehendaki menceraikan isteri mereka.

Mengajar hadith selama 40 tahun dan berjaya menyusun kitab hadith dan athar Sahabat yang terkenal; Al-Muwatta’ atas arahan dan dorongan Khalifah Abu Ja’far Al-Mansoor (754-775M). Dalam masa yang sama,ketika zaman Khalifah Abu Ja’far Al-Mansoor(754-775M) dan Khalifah Harun Ar-Rashid(786-809M) telah meminta agar Al-Muwatta’  dijadikan sebagai buku rujukan rasmi dalam bidang fiqh bagi Daulah Abbasiyyah namun ditolak oleh Imam Malik.

Sumber hukum yang diterima oleh Imam Malik dan pengikut selepasnya adalah :

  1. Quran
  2. Sunnah Rasulullah s.a.w
  3. Amalan penduduk Madinah
  4. Ijma’ para Sahabat
  5. Ijtihad peribadi para Sahabat
  6. Qiyas (analogi)
  7. Urf(adat) penduduk Madinah
  8. Istislah(yang lebih baik)
  9. Urf(adat masyarakat setempat)

Antara pelajar utama Imam Malik ialah :

  1. Abu Abdur-Rahman ibn Al-Qasim(745-813M)
  2. Abu Abdillah ibn Wahb(742-819M)

Mazhab Maliki sekarang ini banyak diamalkan di Mesir, Sudan, Afrika Utara (Tunisia, Algeria, Moroko), Barat Afrika (Mali, Nigeria, Chad) dan negara-negara sekitar Teluk Arab (Kuwait, Qatar, Bahrain)

4) Mazhab Zaydee

Imam Zayd ibn Ali Zainal Abidin (700-740M) yang merupakan keturunan Saidina Ali ibn Abi Talib melalui jurai keturunan Husain ibn Ali dianggap sebagai pengasas mazhab ini. Pakar dalam bidang hadith dan cara bacaan Quran, beliau mengajar di kota Madinah, Basrah, Kufah dan Wasit.Hidup di zaman Daulah Umayyah,beliau pernah cuba menentang khalifah ketika itu; Khalifah Hisham ibn Abdul Malik (724-743M) selepas peristiwa Karbala. Namun,beliau terkorban dalam penentangan tersebut. Berbeza dengan golongan Syiah yang lain,beliau mengakui perlantikan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar dan menafikan bahawa mereka berdua telah merampas hak Saidina Ali sebagai khalifah walaupun menentang pemerintahan Daulah Umayyah. Hal ini telah menyebabkan beliau hilang pengaruh dalam kalangan kelompok Syiah yang mana kepimpinan beliau ditolak dan diganti oleh Imam Ja’far As-Sadiq

Sumber hukum mazhab Zaydee adalah:

  1. Quran
  2. Sunnah Rasulullah s.a.w.
  3. Aqwaal ‘Alee(pendapat peribadi Saidina Ali)
  4. Ijma’ para Sahabat
  5. Qiyas
  6. ’Aql(akal fikiran).

Pelajar beliau yang terkenal ialah :

  1. Abu Khalid, ‘Amr ibn Khalid al-Wasite (m.889M)
  2. Al-Hadi Al-Haqq, Yahya ibn Al-Husayn (860-911M)
  3. Al-Hasan ibn Ali Al-Husayni (845-917M)

Hari ini,pengamal mazhab ini boleh dijumpai di Yaman.

5) Mazhab Laythee

Pengasasnya ialah Imam Al-Layth ibn Sa’ad (716-791M) yang dilahirkan di Egyt dan berketurunan Parsi. Sebagai salah seorang ulama terkemuka di Mesir,beliau juga sezaman dengan Imam Abu Hanifah di Kufah dan Imam Malik di Madinah. Malahan,beliau sering berdebat, bertukar pandangan dan berbincang dengan Imam Malik melalui surat.

Mazhab yang dibimbing beliau lenyap sejurus selepas kematian beliau atas beberapa factor iaitu:

  1. Beliau tidak merekodkan ajaran,ijtihad dan pendapat beliau.Beliau juga tidak pernah menyuruh pelajar-pelajar beliau untuk berbuat demikian.Hal ini menyebabkan sedikit sahaja maklumat yang ada mengenai mazhab ini.
  2. Jumlah pelajar beliau yang sedikit dan tiada yang menjadi ulama besar/terkenal yang membolehkan mereka menyebarkan dan mempopularkan ajaran Imam Al-Layth.
  3. Sejurus kematian beliau,Imam Shafi’ie telah tiba di Mesir(yang mana tujuan asalnya adalah untuk belajar di bawah beliau) dan menetap di sana dan menyebarkan mazhab Shafi’ie.

Satu fakta yang agak menarik ialah,berdasarkan pengamatan Imam Shafi’ie yang belajar di bawah Imam Malik dan pelajar Imam Al-Layth telah menyatakan bahawa sebenarnya Imam Al-Layth merupakan ahli fiqh yang lebih hebat jika dibandingkan dengan Imam Malik.

6) Mazhab Thawree

Bersempena pengasasnya,Imam Ath-Thawree(719-777M) ataupun nama sebenar beliau ialah Imam Sufyan Ath-Thawree yang dilahirkan di Kufah,Iraq. Terkenal dalam bidang Fiqh dan Hadith serta sependapat dengan Imam Abu HAnifah yang sezaman dengan beliau terutama dari segi sumber hukum dalam Fiqh. Namun beliau menolak penggunaan Qiyas dan Istihsan.

Telah berlaku perselisihan antara beliau dan pemerintah Daulah Abbasiyyah kerana sikap beliau yang lantang bersuara dan mengkritik polisi Abbasiyyah yang bertentangan dengan Shariah. Khalifah Al-Mansor(754-775M) telah menawar beliau menjadi Qadi Kufah namun ditolak beliau sehingga menimbulkan kemarahan Khalifah. Akibatnya,beliau dipaksa berhenti mengajar dan hidup sebagai pelarian. Beliau akhirnya meninggal pada 777M ketika masih dalam pelarian.

Terdapat 2 faktor mengapa lenyapnya pengaruh mazhab beliau.Pertama,kebanyakan usia beliau dihabiskan untuk melarikan diri dan bersembunyi daripada pemerintah Abbasiyyah sehingga menyebabkan beliau gagal mengumpul pelajar yang ramai.

Faktor yang kedua adalah disebabkan wasiat beliau kepada pelajar utama beliau;Ammar ibn Sayf agar menghapuskan segala hasil tulisan beliau dalam bidang hadith dan syarahannya.Walaupun begitu,sedikit sebanyak idea dan pemikiran beliau direkodkan oleh pelajar di bawah ulama lain dan masih wujud sehingga ke hari ini namun dalam keadaan yang tidak tersusun.

7) Mazhab Shafi’ie

Berdasarkan ajaran Muhammad ibn Idris ibn Ash-Shafi’ie yang lebih dikenali sebagai Imam Ash-Shafi’ie(769-820M) yang dilahirkan di Bandar Shaam. Mengembara ke Madinah untuk belajar ilmu Hadith dan Fiqh di bawah Imam Malik dan berjaya menghafal kitab Al-Muwatta’ sepenuhnya.

Selepas kematian Imam Malik,Imam Shafi’ie berhijrah dan mengajar di Yaman. Di sana,beliau dituduh sebagai Syiah dan dipenjarakan ketika zaman Khalifah Harub Ar-Rashud(786-809M) namun berjaya membebaskan dirinya daripada tuduhan tersebut. Kemudian,Imam Shafi’ie menetap di Iraq dan belajar di bawah Imam Muhammad ibn Al-Hasan,salah seorang murid utama Imam Abu Hanifah.

Selepas itu,beliau mengembara ke Mesir dengan harapan untuk belajar di bawah Imam Al-Layth(rujuk Mazhab Laythee) namun sesampainya beliau di Mesir,Imam Layth sudah pun meninggal dunia. Namun,beliau bernasib baik kerana sempat belajar di bawah pelajar Imam Al-Layth. Imam Shafi’ie menetap di Mesir sehingga beliau kembali ke rahmatullah pada 820M ketika zaman Khalifah Al-Makmun (813-842M).

Di antara kehebatan Imam Shafi’ie adalh kemampuan beliau dalam menggabungkan Fiqh Hijaz (Mazhab Maliki) dan Fiqh Iraq (Mazhab Hanafi) yang mana hasilnya adalah lahirnya mazhab Shafi’ie. Hal ini menyebabkan mazhab beliau boleh di katakan agak sederhana dan fleksibel berbanding mazhab-mazhab yang lain. Dalam mazhab beliau juga,terdapat 2 kumpulan fatwa yang dikenali sebagai ‘Qaul Qadim’(Fatwa Lama) dan ‘Qaul Jadid’(Fatwa Baru). ‘Qaul Qadim’ merupakan kumpulan fatwa semasa beliau berada di Iraq manakala ‘Qaul Jadid’ merupakan kumpulan fatwa setelah beliau berhijrah ke Mesir. Hal ini didorong oleh berbezanya cara hidup dan keadaan masyarakat di antara Iraq dan Mesir. Jika Imam Maliki terkenal dengan kitabnya Al-Muwatta’, Imam Shafi’ie pula terkenal dengan kitab al-Umm dan Ar-Risalah.

Untuk sumber hukum pula,Imam Shafi’ie dan pengikutnya berdasarkan :

  1. Al-Quran
  2. Sunnah Rasulullah s.a.w
  3. Ijma’
  4. Pendapat peribadi Sahabat
  5. Qiyas
  6. Istishab

Di antara pelajar beliau yang terkenal ialah :

  1. Al-Muzanee (791-876M)
  2. Ar-Rabee’ Al-Maradee (790-873M)
  3. Yusuf ibn Yahya Al-Buwaytee

Sekarang ini,pengikut Mazhab Shafi’ie kebanyakannya terdapat di Mesir, Selatan Arab (Yaman*,Hadramaut), Sri Lanka, Indonesia, Malaysia, dan Timur Afrika (Kenya,Tanzania) dan juga Surinam di Amerika Selatan.

*Kebanyakan pedagang dan pendakwah yang muncul di Kepulauan Melayu datang dari Yaman dan kawasan sekitarnya. Atas factor inilah kebanyakan penduduk Kepulauan Melayu (Malaysia & Indonesi) bermazhab Shafi’ie. Untuk bukti asal-usul pedagang dan pendakwah tersebut,boleh rujuk conflik yang berlaku antara golongan Sayyid dan bukan Sayyid di Kepulauan Jawa pada abad ke-18/19.

 8) Mazhab Hanbali

Bersempena pengasasnya,Imam Ahmad ibn Hanbal Ash-Shaybanee yang lahir di Baghdad pada 778M. Terkenal dalam bidang hadith, sempat belajar di bawah Imam Abu Yususf dan Imam Shafi’ie. Menghadapi beberapa siri fitnah ketika zaman Khalifah Al-Makmum (813-842M) sehingga menyebabkan beliau di penjarakan. Hal ini disebabkan pengaruh falsafah Muktazilah ke atas  Daulah Abbasiyyah. Antara isu yang di timbulkan adalah persoalan adakah Quran itu makhluk atau tidak. Fitnah ini berakhir pada zaman Khalifah Al-Mutawakkil (847-861M) setelah pengaruh Muktazilah disingkirkan daripada Daulah Abbasiyyah dengan penyingkiran ulama-ulama Muktazilah oelh Khalifah. Setelah itu,Imam Hanbali menetap dan mengajar di Baghada hingga ke akhir hayat beliau (855M). Kitab beliau yang terkenal adalah  Al-Musnad yang mengandungi 30 000 hadith.

Sumber rujukan mazhab Hanbali adalah :

  1. Quran
  2. Sunnah Rasulullah s.a.w
  3. Ijma’ para Sahabat
  4. Pendapat peribadi Sahabat
  5. Hadith Daif (lemah)
  6. Qiyas

Pelajar beliau yang terkenal adalah dua orang anak beliau sendiri iaitu Salih (m.873M) dan Abdullah (m.903M) selain daripada Imam Bukhari dan Imam Muslim yang belajar ilmu hadith daripada beliau. Pengikut Mazhab Hanbali majoritinya terdapat di Palestin dan Arab Saudi.

9) Mazhab Dhahiri

Pengasasnya adalah Dawood ibn Alee yang dilahirkan di Kufah pada 815M (m.883M). Pada awalnya,belajar fiqh di bawah pelajar Imam Shafi’ie namun kemudian bertukar ke bidang hadith dan belajar di bawah Imam Ahmad ibn Hanbal. Namun begitu,beliau disingkirkan daripada kuliah pengajian Imam Ahmad ibn Hanbal atas faktor mengatakan bahawa Quran adalah makhluk kerana beliau telah terpengaruh dengan falsafah Muktazilah. Setelah disingkirkan,beliau mencipta mazhab sendiri dan berpendapat bahawa sumber hukum yang boleh diterima adalah makna Quran dan Sunnah secara zahir sahaja. Oleh kerana itu,mazhab beliau dinamakan Dhahiri dan beliau digelar Daawood Adh-Dhahiri.

Dari segi sumber hukum,beliau hanya menerima tafsiran Quran dan Sunnah secara zahir sahaja. Beliau juga menolak ijma’ para Sahabat kerana berpendapat ijma’ para Sahabat adalah Qiyas daripada Sunnah Rasulullah s.a.w. Maka,secara tidak langsung,beliau juga menolak penggunaan Qiyas sebagai sumber hukum.

Mazhab beliau gagal mendapat tempat di zamannya dan 1 ½ abad selepas kematian beliau. Walaupun begitu,salah seorang pengikut mazhab beliau selepas itu berjaya menonjolkan mazhab beliau iaitu Ali ibn Ahmad ibn Hazm al-Andaloosee (m.1070M) atau lebih dikenali sebagai Ibn Hazm. Ibn Hazm berjaya mengembangkan mazhab Dhahiri di Andalus. Namun begitu,mazhab ini lenyap setelah kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol.

10) Mazhab Jariri

Diasaskan oleh Imam At-Tabari (839-923M) atau nama sebenar beliau adalah Muhammad ibn Jareer ibn Yazid at-Tabari yang dilahirkan di wilayah Tabaristan. Pakar dalam pelbagai bidang,khususnya hadith, fiqh dan sejarah. Sebagai seorang ulama yang gemar mengembara,beliau telah mempelajari mazhab Hanafi,Maliki Shafi’ie dan lain-lain. Pada 10 tahun pertama kembalinya beliau dari Mesir,beliau mengamalkan mazhab Shafi’ie.Namun kemudiannya,beliau mengasaskan mazhab beliau sendiri yang digelar Jariri;bersempena nama ayah beliau.

Ibn Jarir terkenal dengan kitab beliau iaitu Tafsir at-Tabari dan Tarikh at-Tabari.

Penutup

Maka,begitulah sedikit sebanyak sejarah dan perkembangan mazhab-mazhab fiqh dalam lembaran sejarah umat Islam. Tujuan dikarang artikel ini hanyalah untuk sebagai menambah khazanah ilmu pengetahuan kita mengenai agama kita sendiri. Dalam masa yang sama ingin menonjolkan betapa fleksibelnya Islam dari segi hubungan sehari-harian dan muamalat walaupun masih terdapat beberapa aspek dan prinsip yang tetap dan tidak boleh diubah lagi.Wallahualam…

*Bahan untuk artikel ini diambil daripada buku “The Evolution of Fiqh (Islamic Law & The Madh-habs)” tulisan Dr.Abu Aminah Bilal Philips terbitan A.S Noordeen. Buku ini merupakan antara rujukan bagi subjek “Introduction to Fiqh” di Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM.

Posted by: Hazizie Sulkafle | Ogos 8, 2011

Mustafa Kemal Ataturk(Power Point)

MUSTAFA KEMAL ATATURK

Older Posts »

Kategori